Pemandu maut, 37 cedera kereta api tergelincir di Sepanyol

Pemandu maut, 37 cedera kereta api tergelincir di Sepanyol

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARCELONA: Seorang pemandu kereta api maut manakala sekurang-kurangnya 37 penumpang cedera, dengan lima daripadanya parah, selepas sebuah kereta api komuter tergelincir berhampiran Barcelona.

Insiden ini berlaku hanya beberapa hari selepas satu lagi pertembungan maut melibatkan dua buah kereta api di selatan Sepanyol pada Ahad lalu.

Menurut pegawai tempatan, kereta api perkhidmatan Rodalies itu merempuh tembok penahan yang runtuh ke atas landasan di antara Gelida dan Sant Sadurní.

Inspektor Bomba wilayah Catalonia, Claudi Gallardo, mengesahkan kesemua penumpang berjaya dikeluarkan dari kereta api berkenaan.

Kejadian tersebut berlaku ketika ribut kencang membadai timur laut Sepanyol, yang kini meletakkan kawasan pesisir pantai di timur dan barat laut negara itu dalam keadaan amaran tahap tinggi berikutan cuaca buruk.

Sebanyak 11 ambulans dikejarkan ke lokasi kejadian di Gelida, kira-kira 35 kilometer ke barat Barcelona bagi merawat mangsa yang cedera.

Pihak bomba tempatan pula menghantar 35 jentera ke kawasan tersebut dan berjaya menyelamatkan seorang penumpang yang sebelum ini terperangkap di dalam gerabak.

Perkhidmatan kecemasan memaklumkan sebahagian mangsa yang cedera telah dipindahkan ke Hospital Moisès Broggi, Bellvitge, dan Vila Franca untuk rawatan lanjut. Daripada jumlah mangsa yang cedera, enam dilaporkan dalam keadaan kurang serius manakala 26 lagi mengalami kecederaan ringan.

Dalam insiden berasingan pada hari yang sama, sebuah lagi kereta api di rangkaian komuter Barcelona turut dilaporkan tergelincir.

“Gandar kereta api terkena batu yang terjatuh akibat ribut,” lapor pengendali rangkaian rel Sepanyol, Adif, dalam satu kenyataan.

Kereta api itu sedang dalam perjalanan antara Blanes dan Maçanet-Massanes, namun tiada kecederaan dilaporkan bagi kes kedua tersebut.

Susulan kejadian ini, akhbar El Pais melaporkan kira-kira 400,000 pengguna dijangka terjejas ekoran penggantungan perkhidmatan kereta api pada pagi Rabu.

Keseluruhan rangkaian rel komuter Rodalies dihentikan operasi buat sementara waktu bagi membolehkan pemeriksaan keselamatan dijalankan sepenuhnya. Pengendali rel dijangka mengadakan pertemuan dengan pihak berkuasa selepas pemeriksaan selesai. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN