Operasi sasar TTP paksa 70,000 penduduk berpindah

Operasi sasar TTP paksa 70,000 penduduk berpindah

PENDUDUK yang melarikan diri dari bandar Tirah menunggu giliran di luar pusat pendaftaran di Bara di daerah Khyber, barat laut Pakistan.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISLAMABAD: Lebih 70,000 penduduk, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak terpaksa meninggalkan kawasan terpencil di barat laut Pakistan yang bersempadan dengan Afghanistan, akibat kebimbangan terhadap operasi ketenteraan menyasarkan kumpulan Taliban di negara itu.

Menteri Pertahanan Pakistan, Khawaja Muhammad Asif menafikan dakwaan penduduk dan pihak berkuasa wilayah, operasi ketenteraan sedang dirancang di bandar Tirah di Khyber Pakhtunkhwa.

Dalam sidang media di Islamabad, beliau berkata, penghijrahan besar-besaran itu disebabkan keadaan cuaca yang tidak menentu walaupun penduduk mengakui terpaksa melarikan diri selama beberapa minggu kerana bimbang tentang operasi ketenteraan yang bakal berlaku.

Kebanyakan penduduk meninggalkan kawasan itu selepas pengumuman di masjid pada Disember tahun lalu, yang menggesa mereka untuk berpindah menjelang 23 Januari bagi mengelakkan sebarang konflik. 

Kejadian ini berlaku selepas operasi ketenteraan Pakistan pada Ogos lalu terhadap Taliban di daerah Bajaur yang turut memaksa ratusan ribu orang meninggalkan rumah mereka.

Jurucakap kerajaan wilayah, Shafi Jan menuduh pihak berkuasa persekutuan menyebabkan kesukaran kepada penduduk yang melarikan diri dan mendakwa kerajaan Islamabad mengubah pendirian berhubung operasi ketenteraan.

Sementara itu, Ketua Menteri Khyber Pakhtunkhwa, Sohail Afridi daripada parti pimpinan bekas Perdana Menteri, Imran Khan, menentang campur tangan ketenteraan dan berjanji untuk menghalang operasi berskala penuh di Tirah.

Pegawai tentera menegaskan mereka akan meneruskan operasi risikan bersasar terhadap Tehrik-e-Taliban Pakistan (TTP). 

Mereka mendakwa ramai pejuang TTP berlindung di Afghanistan sejak Taliban kembali berkuasa di negara itu pada 2021 dan ratusan daripada mereka menyeberangi sempadan ke Tirah serta menggunakan penduduk tempatan sebagai perisai manusia semasa serangan.

Pentadbir kerajaan tempatan, Talha Rafiq Alam melaporkan, kira-kira 10,000 keluarga atau lebih kurang 70,000 orang daripada 150,000 penduduk Tirah mendaftar untuk bantuan sementara. 

Tarikh akhir pendaftaran dilanjutkan daripada 23 Januari ke 5 Februari, dengan jaminan penduduk boleh kembali setelah keadaan keselamatan bertambah baik.

Tirah mendapat perhatian negara pada September lalu selepas letupan di sebuah kemudahan yang dipercayai tempat pembuatan bom, yang meragut sekurang-kurangnya 24 nyawa. 

Walaupun pihak berkuasa mendakwa kebanyakan mangsa adalah pejuang yang berkaitan TTP, pemimpin tempatan menegaskan ramai orang awam, termasuk wanita dan kanak-kanak turut terkorban.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×