SANTIAGO: Kebakaran hutan yang mengorbankan sekurang-kurangnya 19 nyawa di selatan Chile terus merebak dan memusnahkan seluruh bandar ketika kemuncak suhu panas dan angin kencang melanda hemisfera selatan.
Kebakaran bermula pada Sabtu di wilayah Nuble dan Biobío kira-kira 500 kilometer di selatan ibu negara Santiago dan sejak itu merebak ke kawasan seluas bandar Detroit di Amerika Syarikat (AS). Pihak berkuasa berkata, kira-kira 1,000 rumah musnah atau rosak.
Presiden, Gabriel Boric berkata, anggota bomba berjaya mengawal beberapa kebakaran, namun yang lain masih sangat aktif, selain kebakaran baharu yang dilaporkan tercetus di wilayah Araucanía yang bersempadan dengan Biobío.
Wilayah Nuble dan Biobío diisytiharkan sebagai kawasan bencana, dengan tentera dikerah meronda landskap suram dipenuhi rangka kereta yang hangus, besi berpintal dan rumah yang musnah menjadi runtuhan.
“Ia mengerikan. Saya cuba menyimbah air di sekitar rumah sehabis mungkin, tetapi saya nampak api menghampiri kawasan kejiranan.
“Saya capai anak saya, abang saya menyelamatkan anjing kami dan terus melarikan diri,” kata penduduk bandar pelabuhan kecil Lirquén yang terjejas teruk, Yagora Vasquez.
Semalam, penduduk kembali ke kediaman mereka yang hangus dijilat api, mengorek runtuhan dan abu untuk menyelamatkan apa yang masih tinggal.
“Saya berpindah dari kawasan pantai selepas tragedi tsunami pada 2010, namun rumah saya tetap musnah hujung minggu lalu, kali ini akibat gelombang api yang datang dari hutan pula, bukan lagi air.
“Malah keadaan kini jauh lebih teruk, lebih memusnahkan. Ketika gempa bumi air laut membanjiri dan ada kemusnahan, tetapi jika dibandingkan dengan ini, ia tidak seberapa,” kata seorang penduduk, Mali Torres.-AFP










