WASHINGTON: Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (AS) mengeluarkan sapina terhadap beberapa pegawai Demokrat di Minnesota atas dakwaan berkonspirasi untuk menghalang tugas pegawai imigresen persekutuan di negeri tersebut.
Pejabat Gabenor, Tim Walz; Ketua Peguam Negeri, Keith Ellison; Datuk Bandar Minneapolis, Jacob Frey; Datuk Bandar St. Paul, Kaohly Her dan Pendakwa Raya Daerah Hennepin, Mary Moriarty adalah antara pihak yang menerima saman undang-undang tersebut.
Tindakan itu diambil ketika Peguam Negara AS, Pam Bondi mengadakan lawatan ke Minnesota susulan siri protes besar-besaran yang tercetus di negeri itu.
Sementara itu, Presiden AS, Donald Trump menyatakan insiden seorang ejen Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam (ICE) menembak mati seorang penunjuk perasaan, Renee Good, 37, amat dikesali dan menyifatkan kematian wanita itu sebagai satu tragedi.
Bagaimanapun, Walz menyelar siasatan tersebut sebagai gangguan bersifat partisan dan mendakwa Jabatan Kehakiman tidak mencari keadilan dalam kes pembunuhan Good yang telah mencetuskan pergolakan awam.
Dalam satu kenyataan kepada BBC, Frey mendakwa Jabatan Kehakiman menyasarkannya hanya kerana tidak bersetuju dengan pentadbiran Trump. Ellison pula menuduh Trump menggunakan sistem kehakiman sebagai senjata politik.
Ellison, yang merupakan pendakwa raya tertinggi negeri, melalui hantaran di laman X memaklumkan, Jabatan Kehakiman menghantar sapina juri agung untuk mendapatkan rekod dan dokumen berkaitan gerak kerja pejabatnya yang melibatkan penguatkuasaan imigresen persekutuan.
“Segala-galanya mengenai tindakan ini adalah sangat luar biasa, terutamanya kerana ia berlaku sejurus selepas pejabat saya memfailkan saman terhadap pentadbiran Trump bagi mencabar tindakan haram mereka di Minnesota.
“Apabila kerajaan persekutuan menggunakan kuasanya untuk cuba menakut-nakutkan pemimpin tempatan yang hanya menjalankan tugas mereka, setiap rakyat AS seharusnya merasa bimbang.
“Kita tidak sepatutnya hidup dalam sebuah negara di mana rakyat bimbang penguatkuasaan undang-undang persekutuan akan digunakan untuk kepentingan politik atau menindas suara tempatan yang tidak sehaluan dengan mereka,” kata Frey dalam satu kenyataan.- AGENSI









