Israel terima jemputan sertai Lembaga Keamanan Gaza

Israel terima jemputan sertai Lembaga Keamanan Gaza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAITULMUQADDIS: Israel dilaporkan menerima jemputan daripada Amerika Syarikat (AS) untuk menyertai inisiatif Lembaga Keamanan Gaza cetusan Presiden, Donald Trump yang bertujuan menyelesaikan konflik global.

Dua sumber yang mempunyai maklumat mengenai perkara itu memberitahu Reuters, bagaimanapun masih belum jelas sama ada Israel telah menerima jemputan tersebut atau sebaliknya.

Pejabat Perdana Menteri Israel setakat ini tidak memberikan sebarang maklum balas terhadap permintaan untuk ulasan.

Trump pada asalnya mencadangkan penubuhan Lembaga Keamanan tersebut ketika mengumumkan pelan menamatkan perang di Gaza pada September lalu.

Namun, jemputan yang dihantar kepada pemimpin dunia minggu lalu menunjukkan peranan yang lebih luas merangkumi usaha menamatkan konflik di peringkat global.

Pejabat Perdana Menteri Benjamin Netanyahu sebelum ini mengkritik komposisi Lembaga Eksekutif Gaza yang diumumkan AS minggu lalu, dengan menyatakan ia bertentangan dengan dasar Israel.

Lembaga Eksekutif Gaza diletakkan di bawah kuasa Lembaga Keamanan, di mana Rumah Putih menyatakan ia akan memfokuskan kepada usaha memajukan kestabilan dan kemakmuran di Gaza.

Bagaimanapun, tiada wakil Palestin menganggotai lembaga berkenaan.

Pejabat Netanyahu tidak memperincikan isu khusus berkaitan lembaga Gaza tersebut, yang mana antara ahlinya termasuk Menteri Luar Turkiye, Hakan Fidan dan seorang pegawai Qatar.

Pegawai Israel berulang kali membantah sebarang penglibatan Turkiye di Gaza. Netanyahu turut berikrar tidak akan ada tempat bagi Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF), membabitkan tentera Turkiye atau Qatar di Gaza, pasca perang kelak.

Selain itu, Israel juga mempunyai hubungan yang tegang dengan Qatar, walaupun negara tersebut bertindak sebagai perantara rundingan antara Israel dan Hamas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN