MINNEAPOLIS: Sekolah-sekolah di Minneapolis kini bertukar menjadi zon berjaga-jaga, dengan ibu bapa mengambil alih peranan sebagai pengawal keselamatan dan menjalankan rondaan demi melindungi anak-anak serta pendidik daripada tindakan penahanan oleh ejen Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam (ICE).
Dalam cuaca beku, peguam bersara yang tinggal berdekatan Sekolah Rendah Green Central, Peter Brown, 81, bertugas memerhati setiap kenderaan dan pejalan kaki yang lalu lalang dan bersedia membunyikan wisel amaran sekiranya anggota ICE menghampiri kawasan berkenaan.
“Saya tidak pernah suka pembuli, tetapi itulah wajah kerajaan persekutuan hari ini. Apa yang berlaku di bandar saya hanyalah intimidasi autoritarian dan saya serta jiran-jiran tidak akan berdiam diri,” katanya kepada Reuters.
Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengerahkan kira-kira 3,000 ejen persekutuan di seluruh kawasan metropolitan Minneapolis–St. Paul, menjadikannya wilayah terbaharu sasaran program pengusiran besar-besaran.
Sebahagian ibu bapa yang tidak terlibat dalam rondaan membantu mengiringi guru atau kakitangan kelahiran asing, menghantar mereka pergi dan balik dari rumah ke sekolah.
Yang lain pula menghantar barangan keperluan dan ubat-ubatan preskripsi kepada keluarga migran yang terlalu takut untuk keluar dari rumah atau menghantar anak-anak ke sekolah berikutan ketegangan yang dicetuskan ejen persekutuan.
Jurucakap Sekolah Awam Saint Paul berkata, dua van membawa pelajar dihentikan ejen ICE minggu ini manakala beberapa sekolah dan pusat jagaan kanak-kanak menghantar emel kepada ibu bapa memaklumkan guru dan kakitangan mereka ditahan.
Beberapa daerah membatalkan kelas pada hari-hari tertentu dan membenarkan pelajar mengikuti pembelajaran dalam talian selama beberapa minggu akan datang sebagai tindak balas terhadap operasi imigresen tersebut.
“Ramai keluarga di kawasan saya takut menghantar anak-anak ke sekolah kerana ejen ICE berkawal di hentian bas,” kata Pengerusi bersama Jawatankuasa Kewangan dan Dasar Kanak-kanak dan Keluarga Dewan Perwakilan Minnesota, Carlie Kotyza-Witthuhn kepada akhbar Star Tribune.
Jurucakap gabungan Kids Count on Us, Nate Byrne berkata, pihaknya menerima laporan harian mengenai kehadiran pegawai ICE berhampiran kawasan pusat jagaan, dengan pusat-pusat di kawasan majoriti pendatang menyaksikan penurunan kehadiran sehingga 50 peratus.









