China tingkat tekanan terhadap Kemboja isu scam siber

China tingkat tekanan terhadap Kemboja isu scam siber

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PHNOM PENH: Kedutaan China memberi amaran peningkatan kes kehilangan warganya yang dipercayai terlibat atau diperangkap dalam pusat penipuan siber di Kemboja menjadi halangan serius kepada hubungan antara kedua-dua negara sekutu berkenaan.

Menurut kenyataan yang dimuat naik di akaun WeChat kedutaan China, Duta Besar China ke Kemboja, Wang Wenbin menggesa Phnom Penh mempertingkatkan tindakan tegas terhadap industri haram itu dalam pertemuan dengan menteri-menteri kanan kerajaan Kemboja.

“China amat mengambil berat mengenai beberapa kes terbaharu melibatkan warga China yang hilang atau lenyap di Kemboja,” kata Wang seperti dipetik dalam kenyataan tersebut.

Beliau berkata, kebanyakan kes membabitkan warga China terkait dengan penipuan dalam talian dan menegaskan ia tidak selari dengan persahabatan tradisi antara China dan Kemboja.

Kerajaan Kemboja sebelum ini menyatakan komitmen untuk membanteras industri haram berkenaan, yang menurut angka Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menggaji sekurang-kurangnya 100,000 orang. 

Pada peringkat awal, sindiket jenayah transnasional terbabit kebanyakannya menyasarkan penutur bahasa Mandarin, namun kini meluaskan operasi ke pelbagai bahasa lain, menyebabkan kerugian mencecah puluhan bilion dolar setiap tahun kepada mangsa di seluruh dunia.

Individu yang menjalankan penipuan tersebut ada kalanya penipu sukarela, namun dalam banyak kes melibatkan warga asing yang diperdagangkan, diperangkap dan dipaksa bekerja di bawah ugutan keganasan.

Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, China meningkatkan usaha memburu tokoh utama industri penipuan di seluruh Asia Tenggara untuk dibicarakan di negaranya sendiri.

Awal bulan ini, Phnom Penh mengekstradisi seorang taikun kelahiran China, Chen Zhi, yang dituduh mengendalikan pusat penipuan internet di Kemboja ke China.

Pejabat PBB bagi Dadah dan Jenayah (UNODC) menganggarkan penipuan dalam talian menyebabkan kerugian sehingga AS$37 billion (RM150 billion) di Asia Timur dan Asia Tenggara pada 2023.

Sementara itu, Amnesty International menuduh kerajaan Kemboja dengan sengaja mengabaikan pencabulan hak asasi manusia yang dilakukan oleh sindiket jenayah siber. -AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN