TEHERAN: Capaian internet yang terhad dilaporkan bernansur pulih seketika di Iran menurut sebuah badan pemantau.
Gangguan komunikasi yang kini memasuki hari ke-10 itu didakwa oleh kumpulan hak asasi manusia bertujuan menyembunyikan tindakan keras pihak berkuasa terhadap penunjuk perasaan yang dilaporkan mengorbankan ribuan nyawa.
Iran memberi amaran sebarang serangan terhadap pemimpin agung negara itu akan dianggap sebagai pengisytiharan perang.
Amaran tersebut dipercayai sebagai maklum balas terhadap kenyataan rakan sejawatnya dari Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang menyatakan sudah tiba masanya untuk Iran mencari kepimpinan baharu.
Gelombang demonstrasi yang bermula pada akhir Disember lalu berpunca daripada kemarahan rakyat terhadap kesempitan ekonomi, sebelum ia meletus menjadi protes besar-besaran yang dilihat sebagai cabaran terbesar kepada kepimpinan Iran dalam tempoh bertahun-tahun.
Perhimpunan tersebut mula reda selepas tindakan keras oleh pasukan keselamatan yang disifatkan oleh kumpulan hak asasi sebagai pembunuhan beramai-ramai, dilakukan di bawah perlindungan sekatan komunikasi yang bermula pada 8 Januari.
Badan pemantau Netblocks memaklumkan pada lewat Ahad tahap trafik internet kembali menurun selepas pemulihan singkat yang dikawal ketat melibatkan perkhidmatan Google dan pemesejan terpilih.
Pegawai Iran sebelum ini menegaskan demonstrasi tersebut pada asalnya bersifat aman sebelum bertukar menjadi rusuhan, selain menuduh pengaruh asing daripada musuh ketat mereka, AS dan Israel, sebagai dalang utama.
Trump, yang turut terlibat dalam perang 12 hari Israel menentang Iran pada Jun lalu, berulang kali mengancam akan mengambil tindakan ketenteraan baharu terhadap Teheran jika penunjuk perasaan dibunuh. -AGENSI










