LONDON: Britain mempertahankan perjanjian tahun 2025 untuk menyerahkan semula Kepulauan Chagos kepada Mauritius, menegaskan langkah itu menjamin masa depan pangkalan tentera strategik Amerika Syarikat (AS)- United Kingdom (UK) di Lautan Hindi.
Penjelasan itu dibuat selepas Presiden AS, Donald Trump, menuduh Britain melakukan ‘kebodohan besar’ melalui perjanjian tersebut.
Trump, yang sebelum ini menyokong perjanjian itu ketika ia ditandatangani pada Mei tahun lalu, memuat naik hantaran di media sosial pada Selasa dengan menyatakan tindakan UK melepaskan tanah yang sangat penting adalah satu kebodohan besar.
“Ini adalah satu lagi sebab keselamatan nasional mengapa Greenland mesti diperoleh,” tambahnya.
Trump turut mengancam untuk mengenakan tarif terhadap Britain dan negara Eropah lain kerana menentang tuntutannya ke atas Greenland, sebuah wilayah autonomi milik Denmark.
Di bawah perjanjian Chagos, Britain akan menyerahkan gugusan kepulauan yang terletak kira-kira 2,000 km di timur laut Mauritius kepada bekas tanah jajahannya itu, manakala Mauritius akan menerima bayaran sewaan pangkalan tentera AS-UK selama satu abad.
Britain menegaskan perjanjian itu, yang kini dalam peringkat akhir penelitian di Parlimen akan tetap diteruskan meskipun Trump mengubah pendiriannya secara mendadak.
“Pendirian kami tidak berubah,” kata jurucakap kerajaan UK yang turut memuji peruntukan perjanjian itu yang dianggap ‘teguh’, selain menekankan negara-negara dari Australia hingga ke Jepun menyambut baik langkah berkenaan.
“Perjanjian ini menjamin operasi pangkalan bersama AS-UK di Diego Garcia untuk generasi akan datang,” tambah jurucakap itu merujuk kepada pulau terbesar di gugusan Chagos.
Dalam pada itu, Mauritius memaklumkan mereka mengambil maklum ulasan Trump yang mengkritik perjanjian tersebut, namun menegaskan isu itu bukan lagi perkara yang boleh diperdebatkan.
“Kedaulatan Republik Mauritius ke atas kepulauan Chagos sudah diiktiraf tanpa sebarang keraguan di bawah undang-undang antarabangsa dan tidak seharusnya menjadi subjek perdebatan lagi,” kata Peguam Negara Mauritius, Gavin Glover dalam satu kenyataan.
Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, pada Mei tahun lalu pernah menyatakan Washington mengalu-alukan perjanjian bersejarah itu.
“Pentadbiran Trump menetapkan perjanjian ini menjamin operasi jangka panjang yang stabil dan berkesan bagi kemudahan ketenteraan bersama AS-UK di Diego Garcia,” kata Rubio dalam kenyataannya ketika itu.
Menteri Pejabat Luar UK, Stephen Doughty memberitahu Parlimen pada Selasa Britain akan mengadakan perbincangan dengan pihak AS dalam masa terdekat untuk mengingatkan mereka tentang kekuatan perjanjian ini dan bagaimana ia menjamin keselamatan pangkalan tersebut. -AFP









