Pusat beli-belah berpotensi jadi hab pengangkutan awam

Pusat beli-belah berpotensi jadi hab pengangkutan awam

Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook ketika lawatan kerja ke Hab Pengangkutan Lalaport yang terletak di Aras LG1, Lalaport Bukit Bintang City Centre (BBCC) hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan merancang meneliti pusat beli-belah utama di sekitar Lembah Klang yang berpotensi dijadikan hab pengangkutan awam bersepadu, susulan pembukaan Hab Pengangkutan Lalaport.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, berkata beberapa lokasi strategik lain turut dikenal pasti sebagai hab tambahan, termasuk One Utama di Petaling Jaya, IOI City Mall di Putrajaya dan Sunway Pyramid, tertakluk kepada kesediaan kemudahan serta kelulusan pihak berkuasa tempatan.

Menurutnya, fokus utama adalah memastikan pelancong dari Singapura dapat menuju terus ke Kuala Lumpur dan menikmati perjalanan lancar tanpa gangguan kesesakan atau risiko keselamatan di hentian tepi jalan.

“Kita tidak mahu lagi bas ekspres berhenti di lokasi yang tidak direka untuk turun naik penumpang. Sebab itu pusat beli-belah yang mempunyai kemudahan akses pengangkutan awam menjadi pilihan,

“Hab Pengangkutan Lalaport di Bukit Bintang City Centre (BBCC) dikenal pasti sebagai lokasi sesuai bagi laluan KL-Singapura tanpa bersaing dengan Terminal Bersepadu Selatan (TBS) serta Terminal Bersepadu Gombak (TBG) yang merupakan terminal utama negara untuk perkhidmatan domestik.

“Bagaimanapun, lokasi yang dirancang perlu menaik taraf kemudahan, sistem maklumat dan papan tanda serta memastikan keselamatan penumpang sebelum dilesenkan secara rasmi oleh kerajaan Persekutuan,” katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja ke Hab Pengangkutan Lalaport di Pusat beli belah Lalaport di sini hari ini.

Tambah Siew Fook, Hab Pengangkutan Lalaport kini hampir siap sepenuhnya dan sedang melengkapkan semua keperluan operasi bagi memastikan kelancaran hab pengangkutan awam bersepadu di tengah bandar.

“Sekiranya semua syarat dipenuhi, lesen operasi boleh dikeluarkan seawal Februari, membuka lembaran baharu bagi konsep hab bas moden yang selamat dan tersusun,” katanya.

Siew Fook turut menyatakan bahawa kerajaan telah memberikan tempoh tiga bulan kepada pengusaha bas ekspres KL-Singapura untuk kekal di lokasi sedia ada tanpa tindakan saman, sementara menunggu fasiliti kemudahan siap sepenuhnya.

Katanya, apabila hab lengkap sepenuhnya, pengusaha bas akan dipindahkan ke Hab Pengangkutan Lalaport, khususnya mereka yang sebelum ini berhenti di kawasan tidak sesuai seperti Berjaya Times Square dan Hotel Corus yang sering sesak.

“Selain itu, pihak kementerian bersedia mempercepatkan proses pelesenan sekiranya pemilik bangunan mengambil langkah proaktif menaik taraf kemudahan yang diperlukan.

“Kerajaan turut memberi moratorium sementara bagi membolehkan pengusaha bas terus beroperasi di lokasi lama sambil fasiliti Lalaport dan terminal lain dinaik taraf sebelum lesen rasmi dikeluarkan.

“Langkah ini bukan untuk memaksa pengusaha, sebaliknya menyediakan terminal moden selamat dan sesuai, meningkatkan keselamatan, keselesaan serta kecekapan pengangkutan awam, dan menyokong pertumbuhan sektor pelancongan,” katanya. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN