WASHINGTON: Syarikat angkasa lepas milik Jeff Bezos, Blue Origin mengumumkan akan melancarkan 5,408 satelit bagi membentuk rangkaian komunikasi global baharu.
Langkah ini dilihat sebagai persaingan terus dalam pasaran buruj satelit yang kini didominasi oleh SpaceX milik Elon Musk.
Rangkaian yang dinamakan sebagai TeraWave itu dijadualkan memulakan fasa pelancaran pada suku terakhir tahun 2027. Menurut kenyataan Blue Origin, rangkaian tersebut direka khusus untuk melayani pusat data, pihak kerajaan serta sektor korporat.
TeraWave bakal menggunakan teknologi komunikasi optik yang mampu mencapai kelajuan data sehingga 6 Terabit sesaat (Tbps) di mana-mana sahaja di seluruh dunia.
Kelajuan ekstrem ini jauh melangkaui standard pengguna biasa, menjadikannya komponen kritikal untuk pemprosesan data besar dan program kerajaan berskala tinggi.
Berbeza dengan Starlink yang menyasarkan pengguna individu, Blue Origin menegaskan TeraWave dihadkan kepada maksimum kira-kira 100,000 pelanggan gred perusahaan sahaja.
Selain TeraWave, Bezos turut mempunyai satu lagi rangkaian satelit di bawah Amazon yang dikenali sebagai Leo melibatkan 3,200 satelit untuk menyediakan talian internet kepada pengguna umum dan perniagaan.
Blue Origin dijangka akan menggunakan roket New Glenn milik mereka untuk misi pelancaran TeraWave. Walaupun roket tersebut baru dilancarkan sebanyak dua kali, ia merupakan aset penting untuk memastikan kelancaran penempatan ribuan satelit tersebut mengikut jadual.
“Terminal pengguna dan gerbang gred perusahaan TeraWave boleh ditempatkan dengan pantas di seluruh dunia, sekali gus memperkukuh daya tahan rangkaian sedia ada,” kata kenyataan syarikat itu. -AGENSI










