MADRID: Sekurang-kurangnya 21 orang maut manakala 30 lagi cedera parah dalam nahas ngeri melibatkan pertembungan dua kereta api di selatan Sepanyol.
Perdana Menteri, Pedro Sánchez, menyifatkan insiden itu sebagai malam yang penuh duka buat seluruh negara.
Menurut kenyataan badan pengendali rel Sepanyol, Adif melalui platform X, sebuah kereta api dari Málaga menuju ke Madrid tergelincir berhampiran Adamuz sebelum memasuki landasan bertentangan dan merempuh sebuah lagi kereta api dari arah hadapan.
Rempuhan itu turut menyebabkan kereta api kedua yang dalam perjalanan dari Madrid ke Huelva, tergelincir.
Adif memaklumkan nahas berlaku kira-kira 10 minit selepas kereta api berkelajuan tinggi Iryo bertolak dari Málaga pada jam 6.40 petang waktu tempatan.
Jurucakap perkhidmatan kecemasan Andalusia memberitahu agensi berita AFP pihaknya menerima banyak panggilan melaporkan mangsa yang cedera dan terperangkap di bawah runtuhan gerabak.
Menteri Pengangkutan, Oscar Puente, mengesahkan pada awal pagi Isnin selain 21 mangsa yang maut, seramai 30 penumpang lain mengalami kecederaan serius. Bagaimanapun, laporan awal daripada penyiar rasmi negara sebelum ini menganggarkan jumlah kecederaan mencecah 100 orang.
Imej televisyen memaparkan pasukan perubatan dan anggota bomba bertungkus-lumus di lokasi kejadian, dengan saksi melaporkan satu gerabak kereta api pertama terbalik sepenuhnya.
Seorang wartawan daripada penyiar awam RNE yang berada di dalam kereta api tersebut menggambarkan impak rempuhan itu seumpama gempa bumi.
Penumpang terpaksa menggunakan tukul kecemasan untuk memecahkan tingkap bagi menyelamatkan diri.
Seorang mangsa, Carmen, berkongsi di laman X kereta api mula bergegar dengan kuat 10 minit selepas bertolak dari Córdoba sebelum gerabak keenam tergelincir dan bekalan elektrik terputus.
Video tular yang dimuat naik oleh penumpang lain menunjukkan kakitangan Iryo berusaha menenangkan keadaan di dalam gerabak yang gelap, sambil mengarahkan penumpang yang mempunyai kemahiran pertolongan cemas untuk membantu mangsa lain.
Penumpang turut diminta menjimatkan bateri telefon bimbit untuk kegunaan lampu suluh semasa proses pemindahan.
“Di gerabak kami, keadaan masih terkawal tetapi kami bimbang dengan nasib penumpang di gerabak lain. Ruang dipenuhi asap dan mereka sedang memanggil doktor,” tulis seorang penumpang di media sosial.
Laporan media tempatan menganggarkan terdapat kira-kira 400 penumpang di dalam kedua-dua kereta api tersebut. Susulan kejadian itu, Adif menggantung semua perkhidmatan rel antara Madrid dan Andalusia buat sementara waktu.
Iryo, pengendali rel swasta milik syarikat Itali, masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung insiden ini.
Dalam pada itu, Presiden wilayah Madrid, Isabel Díaz Ayuso, menyatakan kesediaan hospital di wilayahnya untuk membantu mangsa dari wilayah Andalusia jika diperlukan.










