Usaha pulihkan perpecahan Syria sukar tetapi tidak mustahil -  PBB - Utusan Malaysia

Usaha pulihkan perpecahan Syria sukar tetapi tidak mustahil –  PBB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Usaha untuk merapatkan krisis perpecahan di Syria akan mengambil masa yang panjang dan penuh cabaran, namun halangan tersebut tidak mustahil untuk diatasi, kata Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres.

Serangan mengejut oleh gabungan kumpulan pemberontak yang diketuai Hayat Tahrir al-Sham dan militia sekutu pada akhir November 2024 merampas kawasan dikuasai kerajaan dalam masa singkat. Dalam beberapa hari, mereka menawan bandar-bandar utama sebelum akhirnya menguasai ibu negara, Damsyik.

Pada 8 Disember tahun lalu, ketika pertahanan rejim runtuh hampir sekelip mata, Presiden Bashar Assad melarikan diri dari Republik Arab Syria, menamatkan lebih 50 tahun pemerintahan kuku besi keluarga itu.

“Hari ini menandakan setahun sejak kejatuhan kerajaan Assad dan berakhirnya sistem penindasan selama beberapa dekad,” kata Guterres, sambil memuji ketabahan dan keberanian rakyat Syria yang tidak pernah berhenti berharap meskipun menanggung penderitaan yang tidak terbayang.

Beliau berkata, ulang tahun itu menjadi detik untuk mengenang pengorbanan dalam mencapai perubahan bersejarah, selain mengingatkan bahawa perjalanan pemulihan negara masih panjang.

“Apa yang menanti bukan sekadar peralihan politik; ini adalah peluang untuk membina semula komuniti yang musnah dan menyembuhkan perpecahan mendalam,” katanya, sambil menegaskan peralihan itu memberi kesempatan untuk membentuk sebuah negara di mana setiap rakyat Syria tanpa mengira etnik, agama, jantina atau fahaman politik dapat hidup dengan selamat, saksama dan bermaruah.

Guterres menegaskan PBB akan terus menyokong rakyat Syria dalam membentuk institusi politik dan sivik baharu.

“Cabaran yang dihadapi besar, tetapi tidak mustahil untuk diatasi. Tahun lalu telah membuktikan bahawa perubahan bermakna mampu dicapai apabila rakyat Syria diberdayakan dan disokong untuk memacu peralihan mereka sendiri,” katanya.

Menurutnya, komuniti di seluruh negara sedang membina struktur pentadbiran baharu, manakala wanita Syria terus berada di barisan hadapan memperjuangkan hak, keadilan dan kesaksamaan.

Walaupun keperluan kemanusiaan masih amat besar, beliau menegaskan terdapat kemajuan dalam pemulihan perkhidmatan asas, perluasan akses bantuan, serta usaha mewujudkan keadaan bagi kepulangan pelarian dan penduduk yang dipindahkan.

Usaha keadilan transisi turut berjalan, katanya, di samping penglibatan sivik yang semakin meluas. Guterres menyeru kerajaan-kerajaan supaya menyokong peralihan yang diterajui dan dimiliki rakyat Syria, termasuk menghormati kedaulatan negara itu, menghapuskan halangan terhadap pembinaan semula, dan menyediakan pembiayaan kukuh bagi pemulihan kemanusiaan serta ekonomi.

“Pada ulang tahun ini, kita bersatu dalam tekad membina asas keamanan dan kemakmuran serta memperbaharui iltizam terhadap sebuah Syria yang bebas, berdaulat, bersatu dan inklusif,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN