HOUSTON: Selepas lebih lapan bulan menjalankan penyelidikan di ruang angkasa, angkasawan NASA, Jonny Kim, bersama dua rakan sepasukan dari Roscosmos, Sergey Ryzhikov dan Alexey Zubritsky, mengucapkan selamat tinggal kepada Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) malam tadi, sekali gus menandakan tamatnya misi bersejarah Ekspedisi 73.
Ketiga-tiga angkasawan berkenaan dijadualkan berlepas dari ISS menggunakan kapal angkasa Soyuz MS-27 pada 8.41 malam waktu Timur (9.41 pagi waktu Malaysia) sebelum dijangka mendarat di kawasan luar pesisir Kazakhstan sekitar 11.30 malam.
Kepulangan mereka membuka laluan kepada ketibaan kru baharu bagi meneruskan tugas penyelidikan serta penyelenggaraan di stesen berkenaan.
Sepanjang 245 hari berada di orbit, kru Ekspedisi 73 melaksanakan pelbagai eksperimen penting termasuk penyelidikan darah, kajian mikrograviti terhadap kesihatan manusia, selain memastikan sistem kritikal ISS berada pada tahap optimum.
Misi ini turut mencatat sejarah sempena ulang tahun ke-25 kehadiran manusia secara berterusan di ISS.
Di ISS, angkasawan Zena Cardman menyifatkan pemergian rakan-rakannya itu seperti menyaksikan ‘bintang jatuh, namun kali ini membawa tiga jiwa bersamanya’.
NASA memaklumkan proses pemisahan serta pendaratan Soyuz akan disiarkan secara langsung, dengan Pusat Kawalan Misi di Houston dan rakan sejawat mereka di Russia mengawal setiap langkah operasi bagi memastikan pendaratan berjalan lancar dan selamat.










