Saintis jumpa planet baharu berbentuk lemon

Saintis jumpa planet baharu berbentuk lemon

PLANET bersaiz Musytari itu ditemukan menggunakan Teleskop Angkasa James Webb (JWST). – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Para saintis terkejut dengan penemuan sebuah planet berbentuk seperti lemon yang disifatkan ‘mencabar segala pengetahuan sedia ada’ mengenai pembentukan planet.

Planet bersaiz Musytari itu di­temukan menggunakan Teles­kop Angkasa James Webb (JWST) milik Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) dan dinamakan PSR J2322-2650b, dengan ciri fizikal serta atmosfera yang tidak pernah direkodkan sebelum ini.

Menurut penyelidik, planet gas gergasi itu mempunyai atmosfera eksotik yang kaya dengan karbon dan helium, selain diselubungi awan jelaga pada bahagian atasnya, manakala karbon dipercayai memeluwap menjadi berlian di bahagian teras planet.

PSR J2322-2650b tidak mengorbit bintang biasa seperti matahari, sebaliknya mengelilingi sebuah pulsar, iaitu sejenis bintang neutron ultra padat yang merupakan teras bintang mati.

Pulsar berkenaan yang terletak kira-kira 750 tahun cahaya dari bumi, sentiasa membedil planet itu dengan sinaran gama dan daya graviti yang kuat sehingga meregangkannya ke bentuk seperti lemon, sekali gus menghasilkan perbezaan suhu melampau antara siang dan malam.

Para saintis mendapati suhu di planet tersebut boleh mencecah 2,030 darjah Celsius pada siang hari dan menjunam sehingga 650 darjah Celsius pada waktu malam, selain melengkapkan satu pusingan orbit dalam tempoh hanya 7.8 jam.

Menurut para penyelidik, komposisi atmosfera planet itu yang didominasi molekul karbon tanpa kehadiran oksigen atau nitrogen masih gagal dijelaskan oleh mana-mana teori pembentukan planet yang diketahui, menjadikan PSR J2322–2650b antara misteri terbesar dalam kajian planet luar sistem suria setakat ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN