Penembak Bondi berlatih di kawasan luar bandar - polis Australia

Penembak Bondi berlatih di kawasan luar bandar – polis Australia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SYDNEY: Dua suspek dalam insiden tembakan beramai-ramai yang mengorbankan nyawa di Pantai Bondi, Australia didakwa menjalani latihan taktikal di kawasan luar bandar, menurut polis pada Isnin.

Bapa dan anak, Sajid Akram dan Naveed, dituduh menyasarkan sebuah acara Hanukkah di Pantai Bondi, mengorbankan 15 orang dalam kejadian tembakan beramai-ramai paling dahsyat di negara itu dalam hampir tiga dekad.

Dokumen polis yang didedahkan pada Isnin menyatakan kedua-duanya telah menjalani latihan senjata api di kawasan yang dipercayai sebagai luar bandar New South Wales sebelum serangan tersebut.

Polis berkata, suspek merancang secara teliti serangan itu selama berbulan-bulan, sambil mengeluarkan gambar yang menunjukkan mereka melepaskan tembakan menggunakan senapang patah dan bergerak dengan apa yang digambarkan sebagai cara taktikal.

Menurut polis, pasangan itu turut merakam sebuah video pada Oktober yang mengecam Zionis ketika duduk di hadapan bendera kumpulan jihad Negara Islam (IS), selain memperincikan motif mereka terhadap serangan tersebut.

Dokumen turut menunjukkan mereka melakukan lawatan peninjauan pada waktu malam ke Pantai Bondi hanya beberapa hari sebelum pembunuhan berlaku.

Suspek juga didakwa membaling bahan letupan ke arah orang ramai semasa serangan pada Ahad lalu, namun bahan tersebut tidak meletup, kata polis.

Australia mengadakan satu minit bertafakur pada jam 6.47 petang Ahad, tepat seminggu sejak laporan pertama tembakan diterima.

Pengunjung masih meluangkan masa untuk bertafakur di tugu peringatan yang didirikan untuk mangsa, dengan sebahagian meletakkan bunga di dinding dan di atas jambatan.

Perdana Menteri, Anthony Albanese memohon maaf kepada komuniti Yahudi negara itu dan berikrar memperketat undang-undang terhadap ekstremisme.

Berhadapan tekanan politik yang semakin meningkat susulan serangan itu, Albanese berkata, beliau akan mengusahakan undang-undang baharu yang lebih tegas bagi bagi ucapan kebencian. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN