RIYADH: Beberapa wilayah di Arab Saudi dilitupi salji buat kali pertama dalam tempoh 30 tahun, menukar pergunungan berlatarbelakangkan padang pasir kepada pemandangan musim sejuk luar biasa.
Kehadiran jisim udara sejuk membawa hujan serta angin kencang, menyebabkan kawasan tanah tinggi di utara bertukar menjadi landskap bersalji.
Di sekitar Tabuk, termasuk kawasan Jabal Al Lawz dan tanah tinggi Trojena, suhu menjunam sehingga sekitar -4 darjah Celsius, membolehkan salji berkumpul pada altitud kira-kira 2,600 meter.
Saluran televisyen tempatan menyifatkan kejadian itu sebagai peristiwa bersejarah. Di media sosial, gambar dan video yang dikongsi menunjukkan pergunungan bertukar putih diselaputi salji.
Ketika salji turun di kawasan seperti Tabuk dan Hail, penduduk setempat keluar untuk bermain ski dan menikmati suasana dingin yang jarang dialami di negara itu.
Fenomena luar biasa tersebut mencetuskan rasa teruja dan tidak percaya dalam kalangan penduduk, yang membanjiri media sosial dengan perkongsian foto serta video.
Salji itu turut mengubah sebahagian kawasan negara berkenaan menjadi ‘taman permainan musim sejuk’ yang tidak djangka.
Satu video yang dikongsi di platform X tular, memaparkan sekumpulan unta berdiri di kawasan padang pasir yang dilitupi salji, dengan awan gelap kelihatan di langit.
Satu lagi video menunjukkan orang dewasa bermain ski di atas salji sambil meraikan dan merakam detik yang jarang disaksikan di Kerajaan Arab Saudi.
Gelombang sejuk itu juga disertai hujan, ribut petir dan kabus tebal di beberapa wilayah lain di negara berkenaan termasuk Mekah dan Madinah.– AGENSI










