BAITULMUQADDIS: Menteri Luar Israel, Gideon Saar menggesa orang Yahudi yang tinggal di negara-negara Barat supaya berpindah ke Israel, berikutan peningkatan mendadak antisemitisme, seminggu selepas serangan maut di sebuah acara sambutan Hanukkah di Sydney.
Berucap pada majlis menyalakan lilin sempena hari terakhir perayaan Hanukkah, Saar berkata, orang Yahudi berhak untuk hidup dengan selamat di mana-mana sahaja, namun memberi amaran sejarah menunjukkan isu keselamatan mereka tidak boleh diambil mudah.
“Hari ini, orang Yahudi diburu di seluruh dunia. Saya menggesa komuniti Yahudi di negara termasuk Britain, Perancis, Australia, Kanada dan Belgium supaya datang ke Tanah Israel,” katanya.
Kenyataan itu dibuat susulan serangan 14 Disember di sebuah acara Hanukkah di Pantai Bondi di Sydney, Australia yang mengorbankan 15 nyawa. Pihak berkuasa menyatakan serangan tersebut dipengaruhi ideologi kumpulan IS.
Pemimpin Israel berulang kali memberi amaran mengenai lonjakan antisemitisme di negara-negara Barat sejak perang Gaza, malah menuduh kerajaan asing gagal memberikan perlindungan mencukupi kepada komuniti Yahudi.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menggesa kerajaan Barat meningkatkan langkah keselamatan bagi melindungi orang Yahudi di seluruh dunia, sambil menegaskan menjadi tanggungjawab mereka untuk memastikan perkara tersebut.
Saar turut mengkritik Britain kerana gagal membendung ‘gelombang toksik antisemitisme’ selepas serangan maut di luar rumah ibadat Yahudi di Manchester pada hari perayaan Yom Kippur.
Di bawah Undang-Undang Kepulangan Israel 1950, orang Yahudi boleh berhijrah ke Israel.










