CHERNOBYL: Hampir 40 tahun selepas bencana nuklear Chernobyl di Ukraine, saintis menemui satu bentuk kehidupan yang bukan sahaja mampu bertahan malah berkembang seiring dengan radiasi yang masih kekal di kawasan itu.
Satu kulat hitam aneh dikenali sebagai Cladosporium sphaerospermum yang tumbuh pada dinding reaktor terbiar, bukan sekadar menyesuaikan diri dengan tindak balas nuklear malah beberapa strain spesies itu tumbuh lebih cepat apabila terdedah kepada radiasi dan bergerak ke arahnya.
Kajian terkini di Chernobyl mendapati hanya sebahagian kecil kulat gelap itu, sembilan daripada 47 strain yang diuji menunjukkan tingkah laku ‘memburu radiasi’ ini.
Strain berkenaan didapati mampu menukar sinar gamma iaitu jenis radiasi paling kuat dan berbahaya daripada letupan nuklear kepada tenaga kimia, seperti tumbuhan biasa menukar cahaya matahari melalui proses fotosintesis.
Para penyelidik percaya keupayaan luar biasa kulat ini datang daripada melanin, pigmen yang turut memberikan warna kulit manusia, namun teori ini dikenali sebagai radiosintesis masih dalam kajian.
Saintis NASA meneroka penggunaan kulat ini untuk menghasilkan ‘bata kulat’ yang berpotensi menjadi bahan binaan ringan bagi melindungi pangkalan di bulan atau Marikh daripada radiasi kosmik dengan prestasi lebih baik berbanding perisai plumbum yang berat.
Penemuan ini menjadikan kulat itu boleh digunakan untuk membersihkan tapak sisa nuklear serta perisai semula jadi bagi melindungi angkasawan dalam misi NASA ke bulan.










