MADRID: Sekumpulan pelancong mendakwa seorang penumpang warga emas dari Britain sudah meninggal dunia ketika ditolak masuk ke dalam sebuah penerbangan easyJet dari Sepanyol ke Lapangan Terbang Gatwick.
Menurut saksi, wanita berusia 89 tahun itu dibantu menaiki pesawat oleh lima ahli keluarganya yang memaklumkan kepada kakitangan syarikat penerbangan dia tidak sihat dan sedang tidur.
Mereka mendakwa kru kabin dimaklumkan wanita tersebut sudah meninggal dunia sebelum pesawat berlepas.
Pesawat itu kemudiannya berpatah balik sebelum meninggalkan landasan, menyebabkan penerbangan tertangguh selama 12 jam, lapor MailOnline.
Penumpang berkata, wanita itu ditolak menggunakan kerusi roda ke tempat duduk kumpulan berkenaan sebelum dia diangkat ke kerusinya dengan bantuan lima ahli keluarga. Bagaimanapun, easyJet menegaskan wanita itu masih hidup ketika menaiki pesawat.
Saksi turut mendakwa kumpulan tersebut hanya dibenarkan menaiki pesawat selepas memberitahu pegawai daftar masuk yang mempersoalkan keadaan kesihatan wanita berkenaan, bahawa beliau sekadar letih.
Penumpang mendakwa pesawat berhenti sejurus sebelum berlepas apabila kru kabin yang curiga menyedari wanita itu telah meninggal dunia.
Namun, easyJet menolak dakwaan tersebut dan menyatakan saksi adalah silap. Menurut syarikat penerbangan itu, penumpang berkenaan mempunyai sijil layak terbang dan masih hidup ketika menaiki pesawat.
“Apa yang difikirkan oleh kakitangan easyJet hari ini? Mereka bertanya kepada keluarga itu lima kali sama ada wanita ini berada dalam keadaan baik, jelas sekali beliau tidak!
“Dengan mata kasar, dia kelihatan seperti sudah meninggal dunia, terkulai tidak sedarkan diri di atas kerusi roda. Jadi mengapa dia dibenarkan menaiki penerbangan dan mengganggu rancangan semua orang semata-mata untuk menjimatkan kos penghantaran pulang jenazah oleh keluarga?
“Jika saya mabuk, saya tidak akan dibenarkan naik pesawat tetapi nampaknya mati tidak menjadi masalah?! EasyJet, apa yang sedang berlaku?” kata seorang penumpang, Petra Boddington.
“Semua orang di dalam pesawat menyangka dia sudah meninggal dunia ketika tiba, dia tidak sepatutnya disahkan layak untuk terbang,” kata seorang lagi saksi yang enggan dikenali.
Seorang jurucakap Pengawal Awam di Malaga mengesahkan pegawai telah dipanggil ke dalam pesawat berikutan insiden melibatkan seorang wanita warga Britain berusia lanjut.
“Wanita tersebut disahkan meninggal dunia di dalam pesawat yang sepatutnya berlepas dari Malaga ke London selepas pukul 11 pagi semalam,” katanya. -AGENSI










