HONG KONG: Seramai 14 suspek ditahan pihak berkuasa Hong Kong berhubung kebakaran pangsapuri Wang Fuk Court di Tai Po, yang meragut 151 nyawa dan menjadi tragedi kebakaran kediaman paling dahsyat sejak 1980.
Siasatan awal mendapati jaring keselamatan pada bahagian luar bangunan adalah “substandard” dan gagal menghalang api daripada merebak dengan pantas.
Kebakaran yang berlaku ketika kerja pengubahsuaian melibatkan hampir 2,000 unit itu menyelubungi blok-blok kediaman yang dipasang perancah buluh, jaring perlindungan dan papan buih.
Pihak berkuasa memaklumkan tujuh daripada 20 sampel jaring keselamatan tidak memenuhi piawaian keselamatan kebakaran. Ketua Keselamatan, Chris Tang, berkata bahan tidak berkualiti serta penggunaan papan buih dipercayai menyebabkan api merebak dengan begitu cepat.
Daripada 14 suspek yang ditahan, 13 disiasat bagi kesalahan membunuh tanpa niat, manakala seorang lagi disiasat di bawah undang-undang lain.
Eric Chan, pegawai nombor dua pentadbiran Hong Kong, menyifatkan tindakan menyeludup masuk jaring murah bagi menjimatkan kos sebagai “memalukan” dan “berniat jahat”.
Beliau berkata suspek menempatkan bahan berkualiti rendah di lokasi yang sukar dikesan orang awam.
Polis melaporkan lebih banyak mayat ditemui dalam lima daripada tujuh menara yang terjejas, termasuk sisa yang sudah “menjadi abu”, sekali gus menyukarkan proses mengenal pasti mangsa yang masih hilang.
Setakat ini, 104 mayat telah dikenal pasti. Antara mangsa termasuk seorang warga Filipina dan sembilan warga Indonesia, sementara 30 lagi warga Indonesia masih belum dikesan.
Tragedi itu mengundang luahan kesedihan masyarakat setempat, dengan ribuan orang hadir meletakkan bunga dan nota peringatan di sebuah taman berhampiran lokasi kejadian.
Namun keadaan turut tegang apabila polis menahan beberapa individu, termasuk pelajar dan bekas ahli majlis daerah, berhubung risalah dan kempen dalam talian yang mengkritik tindak balas kerajaan. Ada yang disiasat atas dakwaan “niat hasutan” di bawah undang-undang keselamatan negara.










