SYDNEY: Australia bakal mengetatkan kawalan senjata berikutan insiden tembakan oleh dua penyerang di Pantai Bondi, Sydney yang mengorbankan sekurang-kurangnya 16 nyawa, termasuk seorang kanak-kanak dan dua anggota polis.
Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese berkata, kerajaan bersetuju untuk meneliti cara-cara meningkatkan pemeriksaan latar belakang bagi pemilik senjata api, menghalang bukan warganegara daripada memperoleh lesen senjata api, serta mengehadkan jenis senjata yang dibenarkan.
Pihak berkuasa dalam kenyataan juga menyifatkan tembakan dilakukan oleh pasangan dua beranak berpakaian hitam itu pada malam pertama sambutan Hanukkah sebagai serangan anti semitik yang menyasarkan komuniti Yahudi.
Menurut kenyataan itu, penyerang berusia 50 tahun dikenal pasti sebagai Sajid Akram maut di tempat kejadian selepas berbalas tembakan dengan pihak berkuasa, manakala anak lelakinya, Naveed Akram, 24, mengalami kecederaan parah dan dalam keadaan kritikal di hospital.
Naveed dilahirkan di Australia manakala bapanya Sajid berhijrah ke negara itu pada tahun 1998 dan dilaporkan mempunyai lesen senjata api untuk aktiviti berburu rekreasi.
Pesuruhjaya Polis New South Wales, Mal Lanyon berkata, suspek memiliki enam senjata api berlesen yang dipercayai digunakan dalam insiden tembakan itu selepas polis menyerbu dua hartanah di Sydney milik kedua-dua penyerang itu serta penginapan yang disewa mereka sebelum kejadian berlaku.
Mangsa termuda yang maut ialah kanak-kanak perempuan 10 tahun yang meninggal dunia di hospital, manakala mangsa paling tua berusia 87 tahun.
Seramai 42 orang turut dikejarkan ke hospital, termasuk dua anggota polis yang cuba melindungi lebih 1,000 peserta acara tahunan Hanukkah by the Sea di Pantai Bondi yang bertempiaran lari ketika serangan berlaku.
Kenyataan itu juga berkata, siasatan polis kini tertumpu kepada kemungkinan insiden itu ada kaitan dengan kumpulan ekstremis dan militan IS.
Rakaman tular di media sosial turut menunjukkan seorang lelaki, yang dikenal pasti oleh media tempatan sebagai penjual buah-buahan berusia 43 tahun, Ahmed al Ahmed, menerpa seorang daripada penyerang ketika dia melepaskan tembakan ke arah orang ramai.
Lelaki itu kemudian berjaya merampas senjata dari tangan penyerang, sebelum mengacukan senjata itu kepada penyerang yang kemudian berundur.
Sementara itu, sebuah pertubuhan Islam terkemuka Australia mengecam serangan tersebut sebagai insiden mengerikan.
“Hati, fikiran dan doa kami bersama para mangsa, keluarga mereka, serta semua yang menyaksikan atau terkesan oleh serangan yang amat traumatik ini,” kata Majlis Imam Kebangsaan Australia dalam satu kenyataan.-AFP










