ISLAMABAD: Dalam satu majlis menyentuh hati, pelajar-pelajar Sekolah Menengah Awam Majlis Daerah di Upper Dir, Pakistan mengejutkan guru tercinta mereka dengan menghadiahkan sebuah kereta mewah kepada lelaki berkenaan.
Majlis penyerahan hadiah tersebut yang turut diraikan penduduk di daerah berkenan menjadi peringatan kukuh tentang ikatan erat yang wujud antara guru dan pelajar.
Guru berkenaan, Irshad Shaheen terkenal di Upper Dir kerana dedikasinya terhadap pendidikan, disiplin, dan nilai moral.
Selama lebih empat dekad, beliau berkhidmat bukan sahaja sebagai seorang guru, tetapi juga sebagai mentor dan pembimbing, malah sangat dihormati oleh pelajar, ibu bapa, dan rakan sekerja.
Idea menghadiahkan kereta itu dicetuskan oleh seorang bekas pelajar, Arshad Saleem, dengan sokongan ahli jawatankuasa utama termasuk beberapa lagi bekas pelajar lain yang mahu menyatakan penghargaan mereka dengan cara yang bermakna.
Ramai daripada mereka berkata, Irshad sering menyokong mereka ketika menghadapi kesukaran, mendorong mereka meneruskan pendidikan walaupun menghadapi cabaran dan sentiasa memberi motivasi agar percaya pada diri sendiri.
Bagi pelajar yang berasal daripada latar belakang sederhana, bimbingannya memainkan peranan penting dalam mengubah hala tuju hidup mereka.
Majlis penyampaian hadiah diadakan di premis sekolah dan dihadiri oleh bekas pelajar serta ahli komuniti. Apabila kereta itu didedahkan, emosi menyelubungi suasana.
Irshad yang jelas terharu menggambarkan hadiah itu bukan sekadar harta benda, tetapi sebagai simbol kepercayaan, kasih sayang dan kejayaan usaha dalam bidang pendidikan.
Dalam ucapannya, Irshad menekankan ganjaran sebenar bagi seorang guru adalah kejayaan dan akhlak pelajar, mengingatkan pendidikan adalah alat paling berkuasa untuk merubah diri dan sosial, terutamanya di kawasan seperti Upper Dir di mana peluang pendidikan sangat terhad.-AGENSI










