Greta Thunberg ditahan sertai himpunan sokong Palestin di London

Greta Thunberg ditahan sertai himpunan sokong Palestin di London

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Aktivis Sweden, Greta Thunberg ditahan polis semasa menyertai demonstrasi bagi menyokong tahanan mogok lapar pro-Palestin, menurut kumpulan kempen pada Selasa.

Pada Isnin, Thunberg dalam video di Instagram menyifatkan tahanan mogok lapar tersebut sebagai ‘tahanan politik’.

Penangkapan Thunberg menjadikannya antara individu paling terkenal yang ditahan sejak kerajaan Britain mengharamkan kumpulan Palestine Action di bawah undang-undang anti-keganasan.

Prisoners for Palestine yang menganjurkan perhimpunan itu dalam kenyataannya menyatakan Thunberg ditahan di bawah Akta Keganasan United Kingdom.

Thunberg, 22, memegang sepanduk bertulis ‘Saya menyokong tahanan Palestine Action’ dan ‘Saya menentang genosid.

Polis London mengesahkan beberapa individu ditahan kerana mempamerkan sepanduk yang menyokong organisasi Palestine Action yang diharamkan dan bertentangan dengan Seksyen 13 Akta Keganasan 2000.

Beberapa jam kemudian, polis mengumumkan Thunberg dilepaskan dengan ikatan jamin.

Thunberg terus menonjol dalam protes menyokong Palestin. Pada Oktober lalu, beliau antara ratusan individu yang menyertai flotila cuba menembusi sekatan Israel ke atas Gaza.

Selain Thunberg, tiga individu lain turut ditahan di lokasi protes berhampiran kawasan kewangan London kerana dipercayai melakukan kerosakan jenayah.

Polis berkata, mereka menggunakan penukul dan cat merah untuk merosakkan sebuah bangunan dan melekatkan diri pada struktur berhampiran.

Menurut Prisoners for Palestine, protes itu menyasarkan pejabat Aspen Insurance kerana syarikat tersebut menyediakan perkhidmatan kepada firma pertahanan berkaitan Israel, Elbit Systems UK.

Kerajaan Britain pada Julai mengharamkan Palestine Action selepas aktivis kumpulan itu menceroboh sebuah pangkalan tentera udara, menyebabkan kerosakan dianggarkan bernilai 7 juta pound (RM38.4 juta).

Beberapa daripada lapan tahanan yang mogok lapar dihadapkan ke mahkamah berkaitan insiden tersebut.

Mereka berusia antara 20 hingga 31 tahun dan menghadapi perbicaraan berkaitan pencerobohan atau kerosakan jenayah oleh Palestine Action.

Mogok lapar mereka bertujuan menentang layanan yang diterima dan menuntut dibebaskan dengan jaminan.

Menurut Prisoners for Palestine, dua tahanan pertama kini menyambung mogok lapar mereka sehingga hari ke-52, manakala laporan The Guardian menyebut tiga lagi menamatkan mogok lapar.

Perdana Menteri Britain, Keir Starmer, ketika ditanya di Parlimen minggu lalu, menyatakan semua peraturan dan prosedur sedang dipatuhi.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN