TEHERAN: Pelajar universiti di Iran mengadakan protes jalanan di Teheran pada Selasa sehari selepas peniaga di ibu negara itu berhimpun membantah kesukaran ekonomi yang kemudian berjaya mendapat reaksi positif kerajaan.
Menurut Ilna, sebuah agensi berita yang dikaitkan dengan gerakan buruh Iran, protes tercetus di tujuh universiti di Teheran yang merupakan antara institusi paling berprestij di negara itu, serta di sebuah universiti teknologi di bandar Isfahan di tengah Iran.
Tindakan pelajar itu susulan protes yang dibuat peniaga pada Isnin di pusat bandar Teheran dan berlaku sehari sebelum penutupan sementara bank, sekolah dan perniagaan di ibu negara serta di kebanyakan wilayah bagi menjimatkan tenaga susulan cuaca yang amat sejuk.
Nilai rial Iran terus merosot berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan mata wang utama dunia lain.
Ketika protes bermula pada Ahad, dolar AS diniagakan sekitar 1.42 juta rial (RM136.85), berbanding kira-kira 820,000 rial (RM79) setahun lalu, sekali gus meningkatkan harga import dan menjejaskan peniaga runcit.
Wartawan AFP menyaksikan kehadiran sejumlah besar polis dan pasukan keselamatan yang ditempatkan di persimpangan utama di pusat ibu kota dan sekitar beberapa universiti pada Selasa, manakala sebahagian kedai di pusat bandar yang ditutup sehari sebelumnya telah dibuka semula.
Demonstrasi spontan tercetus pada Ahad di pasar telefon bimbit terbesar di bandar itu sebelum mendapat sedikit momentum, namun jumlahnya kekal terhad dan tertumpu di kawasan pusat Teheran. Kebanyakan kedai di kawasan lain terus beroperasi seperti biasa.
Presiden, Masoud Pezeshkian yang mempunyai kuasa lebih terhad di bawah sistem pemerintahan Iran berbanding Pemimpin Tertinggi, Ayatollah Ali Khamenei bertemu pemimpin buruh pada Selasa dan mengemukakan cadangan bagi menangani krisis ekonomi, menurut agensi berita Mehr.
“Saya telah meminta menteri dalam negeri untuk mendengar tuntutan sah para penunjuk perasaan melalui dialog dengan wakil mereka supaya kerajaan dapat melakukan segala yang termampu untuk menyelesaikan masalah dan bertindak secara bertanggungjawab,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Menurut televisyen kerajaan, Speaker Parlimen, Mohammad Bagher Ghalibaf turut menyeru langkah-langkah perlu yang memberi tumpuan kepada peningkatan kuasa beli rakyat, namun memberi amaran terhadap ejen asing dan pihak yang menentang kerajaan yang cuba mengambil kesempatan daripada protes berkenaan.
Pada Isnin, kerajaan mengumumkan penggantian gabenor bank pusat dengan bekas menteri ekonomi dan kewangan, Abdolnasser Hemmati. -AGENSI










