LONDON: Seekor beaver liar dikesan di Norfolk buat kali pertama sejak haiwan itu diburu hingga pupus di England pada awal abad ke-16.
Haiwan tersebut dirakam menarik balak dan membina sebuah pondok di kawasan yang digambarkan sebagai habitat beaver yang sempurna di Sungai Wensum, Pensthorpe, sebuah rizab alam semula jadi berhampiran Fakenham.
Ini merupakan rekod pertama beaver hidup bebas ditemui di daerah itu sejak spesies berkenaan mula kembali ke kawasan desa England pada 2015, apabila sekumpulan anak beaver liar dilahirkan di Devon.
“Beaver ini tiba-tiba muncul di rizab kami. Tiada siapa tahu dari mana ia datang, tetapi ia telah menemui habitat yang sangat sesuai,” kata pengurus rizab tersebut, Richard Spowage.
Beliau menganggarkan haiwan itu sudah mendiami kawasan terpencil serta sukar dilalui itu sejak kira-kira sebulan lalu.
Menurutnya, bahagian sungai tersebut memang dibiarkan menjadi kawasan liar dengan perlindungan pokok yang mencukupi, dan beaver itu dipercayai bergerak ke kawasan paya berhampiran untuk mencari makanan.
Haiwan nokturnal dan herbivor itu dilihat mengumpulkan pokok willow pada waktu malam serta membina stor makanan daripada kulit kayu berhampiran pondoknya.
“Ia melakukan apa yang beaver biasanya lakukan, menebang pokok dan mengumpul makanan untuk musim sejuk. Apabila cuaca terlalu sejuk atau banjir, ia hanya perlu berlindung dalam pondoknya,” kata Spowage.
Beliau mula mengesyaki kehadiran beaver selepas seorang sukarelawan menemui tunggul pokok berbentuk pelik, seakan-akan diasah menjadi runcing yang awalnya disangka seorang budak kecil dengan kapak telah memasuki hutan itu.
Namun selepas menemui sisa gigitan khas beaver pada pokok lain, beliau memasang kamera perangkap yang akhirnya merakam seekor beaver berkeliaran pada waktu malam.
“Ia sangat sukar dikesan. Satu detik yang istimewa melihatnya hidup bebas selepas tidak muncul di Norfolk selama ratusan tahun,” katanya.
Pada Mac lalu, Natural England iaitu badan penasihat kerajaan mengenai alam sekitar mengumumkan ia akan mula mengeluarkan lesen bagi projek pembiakan semula beaver liar.










