PALM BEACH: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menyatakan tentera AS melancarkan beberapa serangan terhadap kumpulan Islamic State (IS) di barat laut Nigeria pada Hari Krismas, sambil memberi amaran lebih banyak serangan akan menyusul jika militan itu terus menyasarkan penganut Kristian.
Trump mendakwa Jabatan Perang melaksanakan ‘banyak serangan sempurna’ terhadap sasaran IS, sambil menegaskan tindak balas keras itu dibuat susulan keganasan berterusan terhadap komuniti Kristian di negara Afrika Barat tersebut.
Dalam kenyataan di platform Truth Social, Trump berkata beliau sebelum ini sudah memberi amaran kepada kumpulan pengganas berkenaan supaya menghentikan pembunuhan dan menyatakan tindakan ketenteraan itu sebagai balasan terhadap kegagalan mereka berbuat demikian.
Komando Afrika Amerika Syarikat (AFRICOM) mengesahkan serangan tersebut dibuat atas permintaan kerajaan Nigeria dan mengakibatkan kematian beberapa anggota ISIS, manakala Ketua Pentagon, Pete Hegseth memuji kerjasama rapat antara Washington dan Abuja dalam operasi itu.
Serangan berkenaan merupakan tindakan ketenteraan pertama AS di Nigeria di bawah kepimpinan Trump, selepas beliau sebelum ini mengkritik negara itu dengan mendakwa penganut Kristian berdepan ancaman serius dalam konflik bersenjata yang melanda beberapa wilayah.
Bagaimanapun, kerajaan Nigeria serta penganalisis bebas menolak naratif keganasan berasaskan agama, sambil menegaskan konflik di negara itu berpunca daripada pelbagai faktor keselamatan dan bukan semata-mata penindasan terhadap mana-mana komuniti agama.










