Turkiye keluar waran tangkap terhadap Netanyahu, pemimpin Israel

Turkiye keluar waran tangkap terhadap Netanyahu, pemimpin Israel

PENUNJUK perasaan berarak ke ibu pejabat PBB di New York City ketika Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berucap pada 26 September lalu. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANKARA: Turkiye mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, serta beberapa pegawai kanan rejim itu atas dakwaan melakukan pembunuhan beramai-ramai di Gaza.

Pejabat Pendakwa Raya Istanbul dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata, sebanyak 37 individu disenaraikan dalam waran tangkap tersebut, termasuk Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz; Menteri Keselamatan Negara, Itamar Ben Gvir; dan Ketua Turus Tentera, Leftenan Jeneral Eyal Zamir.

Turkiye menuduh mereka melakukan ‘pembunuhan beramai-ramai dan jenayah terhadap kemanusiaan’ yang didakwa dilakukan secara sistematik terhadap penduduk Gaza.

Israel bagaimanapun menolak tuduhan itu dengan keras.

Menteri Luar, Gideon Saar, menyifatkan langkah tersebut sebagai ‘gimik publisiti terbaharu oleh Presiden Recep Tayyip Erdogan.

Kenyataan pihak pendakwa turut merujuk kepada serangan Israel pada Mac lalu yang memusnahkan Hospital Persahabatan Turki-Palestin di Semenanjung Gaza, yang dibina oleh Ankara bagi tujuan kemanusiaan.

Turkiye, antara pengkritik paling lantang terhadap perang di Gaza, tahun lalu menyertai kes yang difailkan Afrika Selatan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang menuduh Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai.

Gencatan senjata rapuh masih berkuat kuasa di wilayah Palestin yang musnah sejak 10 Oktober lalu, sebagai sebahagian daripada pelan damai serantau yang digerakkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Kumpulan pejuang Hamas menyambut baik pengumuman itu, menyifatkannya sebagai ‘langkah terpuji yang mencerminkan pendirian tulus rakyat dan kepimpinan Turkiye yang berpegang kepada nilai keadilan, kemanusiaan dan persaudaraan dengan rakyat Palestin ditindas’.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN