Tingkat serangan, Lubnan medan tempur baharu Zionis

Tingkat serangan, Lubnan medan tempur baharu Zionis

KEPULAN asap kelihatan ketika tentera Israel membedil perkampungan Tayr Debba di selatan Lubnan. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIRUT: Sekurang-kurangnya seorang terbunuh manakala sembilan lagi cedera dalam siri serangan udara dilancarkan tentera Israel di selatan Lubnan semalam, sekali gus meningkatkan ketegangan dan mencetuskan kecaman keras daripada kerajaan Lubnan serta kumpulan Hezbollah.

Serangan itu disifatkan sebagai pelanggaran terang-terangan terhadap perjanjian gencatan senjata yang dimeterai setahun lalu.

Tentera Israel dalam kenyataannya mendakwa serangan itu menyasarkan kemudahan ketenteraan Hezbollah dan menuduh kumpulan tersebut enggan melucutkan senjata seperti yang dipersetujui dalam rundingan terdahulu.

Hezbollah menegaskan pihaknya komited kepada gencatan senjata tetapi tidak akan melucutkan senjata selagi Israel terus menceroboh wilayah Lubnan dan melancarkan serangan hampir setiap hari.

Presiden Lubnan, Joseph Aoun, mengutuk tindakan Israel itu sebagai satu jenayah di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Beliau berkata, serangan terhadap kawasan awam yang mengakibatkan kematian dan kecederaan orang tidak bersalah merupakan bukti penolakan Israel terhadap sebarang penyelesaian damai antara kedua-dua negara.

“Sudah hampir setahun gencatan senjata dikuatkuasakan, namun Israel terus melanggar perjanjian tersebut tanpa henti,” katanya.

Menurut Agensi Berita Negara Lubnan (NNA), serangan udara di bandar Toura, wilayah Tyre, menyebabkan seorang lelaki terbunuh dan lapan lagi cedera apabila pesawat Israel mengebom kawasan perumahan.

Saksi turut melaporkan pesawat tempur Israel terbang rendah di ruang udara selatan Beirut dalam satu tindakan yang disifatkan sebagai ugutan psikologi terhadap penduduk awam.

Pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) menyelar tindakan Israel yang disifatkan mengancam keselamatan orang awam serta menjejaskan usaha tentera Lubnan mengawal senjata dan infrastruktur tidak sah di wilayah selatan.

“Sebarang tindakan ketenteraan berskala besar akan menggugat kestabilan dan menghalang kemajuan ke arah penyelesaian politik,” menurut kenyataan UNIFIL.

Hezbollah dalam reaksinya menolak cadangan rundingan politik dengan Israel dengan alasan ia ‘tidak menguntungkan kepentingan nasional Lubnan’.

Di bawah syarat gencatan senjata yang ditandatangani pada 2024, tentera Lubnan diwajibkan melucutkan senjata Hezbollah di wilayah selatan menjelang akhir tahun ini sebelum diperluas ke seluruh negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN