Serangan Israel di selatan Lubnan ragut empat nyawa

Serangan Israel di selatan Lubnan ragut empat nyawa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIRUT: Serangan udara Israel di selatan Lubnan mengorbankan empat orang, menurut Kementerian Kesihatan Lubnan ketika peningkatan serangan rejim Zionis mencetuskan kebimbangan terhadap gencatan senjata hampir setahun dengan kumpulan Hezbollah.

Walaupun gencatan senjata diumumkan pada November 2024 antara Israel dan kumpulan itu, tentera Israel masih mengekalkan kedudukan di lima kawasan di selatan Lubnan serta meneruskan serangan udara berkala dengan alasan menyasarkan Hezbollah.

Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan, serangan udara Israel di daerah Nabatiyeh mengorbankan empat mangsa dan mencederakan tiga yang lain berdasarkan laporan awal.

Agensi Berita Nasional Lubnan (NNA) melaporkan, tentera Israel menyasarkan sebuah kereta menggunakan peluru berpandu berpandu sekitar pukul 10.30 malam (waktu tempatan) semalam.

Presiden Lubnan, Joseph Aoun sebelum ini menyeru rundingan dengan Israel pada pertengahan Oktober selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menjadi perantara gencatan senjata di Gaza.

Namun, Aoun menuduh Israel bertindak balas terhadap seruannya itu dengan meningkatkan serangan di wilayah Lubnan.

Hezbollah mula melancarkan serangan rentas sempadan terhadap Israel selepas tercetusnya perang di Gaza pada Oktober 2023.

Pertempuran itu berlarutan lebih setahun dan memuncak dalam konflik terbuka selama dua bulan sebelum gencatan senjata tahun lalu dicapai.

Walaupun kumpulan Islam itu dilaporkan semakin lemah akibat perang, Hezbollah masih kekal kukuh dari segi kewangan dan ketenteraan.

Sementara itu, AS terus meningkatkan tekanan terhadap pihak berkuasa Lubnan supaya melucutkan senjata kumpulan tersebut, satu langkah yang ditentang keras oleh Hezbollah dan sekutunya. -AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN