BRASILIA: Sekurang-kurangnya lima maut manakala 130 lagi cedera apabila puting beliung melanda sebahagian bandar di selatan Brazil pada Jumaat, menurut pihak berkuasa.
Taufan itu meranapkan kenderaan dan merosakkan kediaman di Rio Bonito do Iguacu, negeri Parana, menurut perkhidmatan cuaca tempatan.
“Lima kematian disahkan akibat puting beliung ini,” kata pertahanan awam Parana dalam satu kenyataan kepada AFP.
Laporan awal juga menunjukkan kira-kira 30 orang mengalami kecederaan serius atau sederhana, manakala kira-kira 100 lagi cedera ringan, menurut agensi penyelamat tempatan.
Kelajuan angin di Rio Bonito do Iguacu, yang mempunyai populasi 14,000 orang, mencecah antara 180 hingga 250 kilometer sejam, menurut sistem pemantauan teknologi alam sekitar Parana.
Agensi itu berkata terdapat pokok tumbang dan kerosakan pada binaan rumah.
Gabenor Parana, Ratinho Junior berkata di X, pasukan keselamatan berada dalam keadaan berjaga-jaga dan dikerahkan memantau bandar-bandar yang terjejas oleh ribut kuat.
Amaran ribut berbahaya turut dikeluarkan untuk seluruh Parana serta negeri selatan Santa Catarina dan Rio Grande do Sul, menurut pihak berkuasa cuaca.









