WASHINGTON: Presiden Syria, Ahmed al-Sharaa, tiba di Amerika Syarikat (AS) bagi lawatan rasmi bersejarah, sehari selepas Washington mengeluarkan namanya daripada senarai hitam keganasan.
Menurut agensi berita rasmi Syria, kunjungan itu menandakan permulaan era baharu hubungan diplomatik antara kedua-dua negara yang sebelum ini terputus sejak sekian lama akibat konflik berlarutan di Syria.
Sharaa, yang mengetuai pasukan pemberontak menumbangkan bekas Presiden Bashar al-Assad pada akhir tahun lalu, dijadual bertemu Presiden AS, Donald Trump, di White House pada Isnin ini.
Lawatan tersebut merupakan yang pertama oleh seorang presiden Syria ke AS sejak kemerdekaan negara itu pada tahun 1946, menurut penganalisis politik antarabangsa.
Sebelum ini, Sharaa dan Trump pernah bertemu di Riyadh semasa lawatan serantau presiden AS berkenaan pada bulan Mei lalu.
Utusan khas AS ke Syria, Tom Barrack, berkata awal bulan ini Sharaa dijangka menandatangani perjanjian penyertaan Syria dalam pakatan antarabangsa diketuai Washington menentang kumpulan militan Negara Islam (IS).
Sumber diplomatik di Damsyik pula memaklumkan kepada AFP, AS bercadang menubuhkan pangkalan tentera berhampiran Damsyik bagi menyelaras bantuan kemanusiaan serta memantau perkembangan keselamatan di sempadan Syria–Israel.
Sementara itu, keputusan Jabatan Negara AS pada Jumaat untuk mengeluarkan nama Sharaa daripada senarai hitam dianggap langkah yang telah dijangka oleh banyak pihak.
Jurucakap Jabatan Negara, Tommy Pigott, berkata kerajaan baharu Syria di bawah pimpinan Sharaa menunjukkan komitmen jelas memenuhi tuntutan Washington, termasuk dalam usaha mencari rakyat Amerika yang hilang serta menghapuskan baki senjata kimia di negara itu.
“Langkah ini diambil sebagai pengiktirafan terhadap kemajuan yang ditunjukkan kepimpinan Syria selepas kejatuhan Bashar al-Assad dan lebih lima dekad penindasan di bawah rejim beliau,” katanya.
Pigott turut menegaskan bahawa keputusan tersebut dijangka memperkukuh kestabilan serantau dan membuka ruang kepada proses politik yang diterajui serta dimiliki oleh rakyat Syria sendiri.










