Pertempuran memuncak di Pokrovsk, Zelensky turun padang sokong tentera

Pertempuran memuncak di Pokrovsk, Zelensky turun padang sokong tentera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KYIV: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky berkata, beliau melawat pasukan tenteranya berhampiran bandar Pokrovsk, lokasi pertempuran paling sengit antara Ukraine dan Russia ketika ini.

Dalam satu hantaran di media sosial, Zelensky memuat naik beberapa gambar menunjukkan beliau bertemu anggota tentera di pos komando sektor Dobropillya, kira-kira 20 kilometer di utara Pokrovsk, dalam wilayah Donetsk.

Ketua Komander Tentera Ukraine, Jeneral Oleksandr Syrskiy berkata, Ukraine kini meningkatkan serangan di kawasan hadapan Dobropillya bagi memaksa tentera Russia membahagikan kekuatan mereka dan menghalang tumpuan utama di Pokrovsk.

Russia berusaha menawan Pokrovsk, sebuah bandar hadapan strategik dan hab logistik penting selama lebih setahun.

Walaupun mengambil masa berbulan-bulan untuk menghampiri sempadan bandar itu, tentera Russia kini dilaporkan sudah menembusi kawasan berkenaan dan pada Jumaat, Zelensky mendedahkan sebanyak 170,000 tentera Russia ditempatkan di pinggir bandar tersebut.

Kedua-dua pihak, Ukraine dan Russia terus mengeluarkan dakwaan dan penafian bertentangan mengenai situasi sebenar di dalam dan sekitar Pokrovsk.

Menawan bandar itu akan memberikan Moscow akses ke seluruh wilayah Donetsk, termasuk bandar Kramatorsk, Slovyansk, Kostyantynivka dan Druzhkivka, kawasan yang digelar sebagai tali pinggang kubu pertahanan Ukraine.

Syrskiy mengakui tenteranya sedang menahan tekanan daripada ribuan musuh, namun menafikan mereka dikepung.

Dalam pada itu, blogger tentera Russia mendakwa 90 peratus Pokrovsk kini berada di bawah kawalan Moscow.

Video belum disahkan yang dimuat naik ke media sosial menunjukkan pertempuran jarak dekat, serangan dron dan pertempuran jalanan di kawasan tersebut.

Institut Kajian Perang (ISW) yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) melaporkan, tentera Russia kini beroperasi dengan lebih bebas di dalam bandar itu, yang dahulunya mempunyai penduduk sekitar 60,000 orang, namun kini hampir kosong sepenuhnya dan musnah teruk.

Di bahagian timur, tentera Russia dilaporkan turut menyasarkan bandar Myrnohrad yang berpotensi mengepung pasukan Ukraine di kawasan berdekatan.

Aktiviti dron yang semakin hebat turut menyebabkan laluan logistik terputus, menjadikan penghantaran peluru, kenderaan dan operasi pemindahan hampir mustahil dijalankan.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN