PARIS: Unit anti-penipuan Perancis melaporkan gergasi e-dagang Asia, Shein kepada pihak berkuasa selepas didapati menjual patung seks berimej seperti kanak-kanak, menurut kenyataan rasmi pada Jumaat.
Badan pemantau tersebut, Direction Générale de la Concurrence, de la Consommation et de la Répression des Fraudes (DGCCRF) dalam satu kenyataan berkata, penerangan dan pengkategorian produk berkenaan di laman web Shein menimbulkan keraguan serius terhadap unsur pornografi kanak-kanak.
Ia berkata, pihaknya sudah melaporkan kes itu kepada pendakwa raya Perancis serta kepada pengawal selia penyiaran dan dalam talian Perancis, Arcom.
Beberapa jam selepas kenyataan itu dikeluarkan, Shein memaklumkan patung tersebut sudah dikeluarkan daripada platformnya dan siasatan dalaman sedang dijalankan.
Akhbar Le Parisien turut menyiarkan gambar satu patung berkenaan, setinggi kira-kira 80 sentimeter yang digambarkan memegang anak patung beruang dan disertakan kapsyen berunsur seksual secara terang-terangan.
“Bayangkan seorang kanak-kanak secara tidak sengaja mengklik dan menemui produk seperti ini ketika mencari patung biasa di laman web tersebut,” kata Pegawai DGCCRF, Alice Vilcot-Dutarte, seperti dipetik oleh Le Parisien.
Laporan ini hadir tidak lama selepas Shein mengumumkan rancangan untuk membuka kedai fizikal pertama di Perancis, bertempat di gedung serbaneka ternama BHV Marais di tengah Paris, yang dijadualkan dibuka pada 5 November.
Langkah itu mencetuskan kemarahan pelanggan tetap gedung berkenaan, dengan beberapa jenama fesyen terkenal dilaporkan menarik produk mereka sebagai tanda protes.
Shein, yang pada asalnya diasaskan di China dan kini beribu pejabat di Singapura sebelum ini berdepan kritikan berterusan mengenai keadaan kerja di kilangnya serta kesan alam sekitar akibat model perniagaan fesyen pantas yang diamalkannya.
Namun, nilai pasaran syarikat itu terus meningkat pesat dan berjaya menyaingi banyak jenama tradisional di pasaran global dalam beberapa tahun kebelakangan ini. – AGENSI










