Penduduk haram Yahudi musnahkan 4,000 pokok zaitun rakyat Palestin

Penduduk haram Yahudi musnahkan 4,000 pokok zaitun rakyat Palestin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAMALLAH: Musim tuaian zaitun tahun di Tebing Barat tahun ini mencatatkan tahap serangan penduduk haram Yahudi tertinggi dalam tempoh lima tahun, menurut agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada Sabtu, lapor Anadolu.

Dalam kenyataannya, Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA) berkata sebanyak 126 serangan di 70 bandar dan kampung Palestin, dengan lebih 4,000 pokok dan anak pokok zaitun dimusnahkan oleh penduduk penempatan haram Israel.

“Musim tuaian zaitun 2025 setakat ini menyaksikan tahap kerosakan dan jumlah komuniti yang terjejas paling tinggi akibat serangan peneroka sejak tahun 2020,” kata laporan itu.

OCHA turut memaklumkan bahawa 60 daripada serangan tersebut melibatkan serangan fizikal terhadap orang awam Palestin, menyebabkan sekurang-kurangnya 17 cedera dan 19 kenderaan rosak hanya dalam tempoh seminggu lalu.

Agensi itu menambah bahawa peneroka haram dari pos penempatan baharu turut menghadkan akses petani Palestin ke ladang mereka, sekali gus menghalang mereka daripada memetik hasil zaitun semasa musim tuaian.

Serangan ini berlaku ketika keganasan peneroka terhadap petani Palestin meningkat mendadak sejak bermulanya musim tuaian yang biasanya dimulakan pertengahan Oktober setiap tahun.

Menurut Suruhanjaya Penentangan Penjajahan dan Tembok, sebanyak 259 serangan dilakukan oleh tentera Israel dan peneroka haram terhadap penduduk Palestin sepanjang musim tuaian zaitun tahun ini.

Sejak Oktober 2023, serangan Israel di Tebing Barat yang diduduki dilaporkan semakin meningkat, mengorbankan lebih 1,062 rakyat Palestin dan mencederakan lebih 10,300 orang, menurut angka rasmi Palestin.

Pada Julai lalu, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengeluarkan pendapat undang-undang penting yang menyatakan bahawa penjajahan Israel di wilayah Palestin adalah tidak sah, dan menggesa pengosongan semua penempatan haram di Tebing Barat serta Baitulmuqaddis Timur. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN