TUNIS: Pemimpin pembangkang Tunisia yang dipenjarakan, Rached Ghannouchi, 84, memulakan mogok lapar sebagai membantah langkah pemenjaraan tidak adil, sekali gus menyertai dua lagi tokoh politik utama yang turut berbuat demikian.
Menurut peguamnya, tindakan Ghannouchi itu menandakan satu lagi peningkatan ketegangan antara pembangkang dan Presiden Kais Saied.
Kebanyakan pemimpin pembangkang Tunisia kini berada dalam tahanan, dengan beberapa parti menuduh Saied menjadikan negara itu sebagai ‘penjara terbuka’ dan menggunakan sistem kehakiman untuk mengukuhkan kuasa autoritariannya.
Ghannouchi menyertai ahli politik pembangkang Jawhar Ben Mbarek, yang melancarkan mogok lapar sejak minggu lalu, serta Ketua Parti Republikan, Issam Chebbi, yang mula berpuasa pada Jumaat bagi menuntut pembebasannya.
Ghannouchi, yang juga ketua parti Ennahda dan pengkritik tegar Saied, ditahan sejak 2023 dan dijatuhi hukuman penjara 37 tahun atas beberapa pertuduhan, termasuk pembiayaan asing haram serta konspirasi terhadap negara.
Beliau enggan hadir ke mahkamah dengan alasan tidak mahu berdepan hakim yang menurutnya hanya mengikut arahan Saied.
Peguam, keluarga dan kumpulan hak asasi manusia pula berkata, keadaan kesihatan Ben Mbarek semakin merosot, malah beliau enggan menerima rawatan dan berisiko tinggi untuk meninggal dunia.
Bagaimanapun, Pihak Berkuasa Penjara Tunisia menafikan dakwaan kesihatan tahanan terjejas akibat mogok lapar, dengan menyatakan pemeriksaan perubatan menunjukkan keadaan mereka ‘normal dan stabil’ tanpa memberikan butiran lanjut.
Mahkamah Tunisia tahun ini menjatuhkan hukuman penjara antara lima hingga 66 tahun terhadap beberapa pemimpin pembangkang, termasuk Ben Mbarek dan Chebbi, atas tuduhan berkomplot menentang keselamatan negara.
Kumpulan hak asasi manusia berkata, pendakwaan itu disasarkan terhadap penentang politik kerajaan.
Pembangkang menegaskan, tindakan Saied menutup parlimen yang dipilih rakyat pada 2021 dan memerintah melalui dekri merupakan satu rampasan kuasa.










