Netanyahu dituduh elak bertanggungjawab serangan 7 Oktober - Utusan Malaysia

Netanyahu dituduh elak bertanggungjawab serangan 7 Oktober

BENJAMIN NETANYAHU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEL AVIV: Ketegangan antara kepimpinan politik dan tentera Israel semakin memuncak apabila Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu, terus dituduh mengelak daripada memikul tanggungjawab berhubung kegagalan yang membawa kepada serangan Hamas pada 7 Oktober 2023.

Protes mingguan yang menuntut peletakan jawatan beliau dan pembebasan tebusan kini menjadi simbol kemarahan rakyat terhadap cara kerajaan menangani krisis tersebut.

Lebih 70 peratus rakyat Israel dilaporkan mahu satu suruhanjaya siasatan negara ditubuhkan untuk meneliti kegagalan sebelum serangan itu yang mengorbankan 1,221 orang.

Namun, lebih dua tahun selepas tragedi tersebut, kerajaan masih belum menubuhkan sebarang badan penyiasat rasmi, malah Netanyahu pada 10 November sekali lagi menolak cadangan itu di Parlimen dan menuduh pembangkang mahu menjadikannya “alat politik”.

Pada Ahad lalu, tentera Israel mengumumkan pemecatan tiga jeneral serta tindakan disiplin terhadap beberapa pegawai kanan susulan laporan dalaman yang meneliti kelemahan keselamatan pada 7 Oktober 2023.

Ketua Turus Tentera, Leftenan Jeneral Eyal Zamir, turut menggesa satu “siasatan sistemik yang lebih menyeluruh”, langkah yang menurut laporan media dianggap Netanyahu sebagai ‘pengkhianatan’ walaupun Zamir pernah menjadi penasihat ketenteraannya.

Menteri Pertahanan, Israel Katz, kemudian mengarahkan satu semakan terhadap kerja jawatankuasa penyiasat tersebut, yang disifatkan Zamir sebagai keputusan “mengelirukan”.

Dalam kenyataan tentera, beliau menegaskan bahawa angkatan tentera adalah satu-satunya institusi yang telah menyiasat kegagalannya secara menyeluruh dan mengambil tanggungjawab, sambil menyatakan sebarang siasatan tambahan perlu dilakukan oleh badan luar yang bebas dan objektif.

Penganalisis bebas, Michael Horowitz, menyifatkan Katz sebagai tokoh politik yang setia kepada Netanyahu, dan perebutan kuasa antara pihak politik serta tentera bukan perkara baharu di bawah pentadbiran perdana menteri itu.

Namun, pertelingkahan kali ini lebih terbuka kerana persoalan utama bukan lagi soal personaliti, tetapi siapa yang harus dipersalahkan atas kegagalan keselamatan 7 Oktober dan bagaimana ia perlu diselesaikan.

W Netanyahu, yang masih enggan mengakui sebarang tanggungjawab, menyatakan beliau akan terus memegang jawatan dan berhasrat bertanding dalam pilihan raya seterusnya yang dijadualkan sebelum akhir 2026.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×