MEXICO CITY: Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum, sekali lagi menolak ancaman Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, yang memberi amaran akan melancarkan tindakan ketenteraan terhadap kartel dadah di wilayah negara itu, sambil menegaskan perkara tersebut tidak akan berlaku.
“Adakah saya mahu melancarkan serangan di Mexico untuk hentikan dadah? Tiada masalah bagi saya. Apa sahaja yang perlu dilakukan untuk menghentikan dadah,” kata Trump pada Isnin, sambil menambah beliau tidak berpuas hati dengan negara jiran tersebut dan menegaskan laluan dadah dari negara itu kini di bawah pemantauan rapi Washington.
Sheinbaum membuat kenyataan tersebut pada Selasa sebagai respons kepada amaran terbaharu Trump mengenai beliau berkemungkinan mengarahkan serangan di Mexico bagi memerangi pengedaran dadah.
Menurut Sheinbaum, pentadbiran Trump kemudiannya menjelaskan sebarang campur tangan hanya akan dibuat dengan kebenaran Mexico.
“Kita tidak akan memintanya kerana kita tidak mahu sebarang bentuk campur tangan daripada mana-mana kuasa asing,” tegasnya.
Sheinbaum turut mengingatkan tentang Perang Mexico-AS pada abad ke-19 sebagai peringatan terhadap risiko membenarkan tentera asing masuk ke negaranya.
Pemimpin wanita itu, yang baru beberapa bulan memegang jawatan Presiden sebelum Trump kembali ke Rumah Putih, mendapat pujian atas pendekatan tegas namun berhemah dalam mengurus hubungan dua hala di tengah tekanan politik yang meningkat.
Awal bulan ini, Sheinbaum menafikan laporan Washington bercadang menghantar tentera ke Mexico, sambil menegaskan beliau berulang kali menolak tawaran sedemikian daripada Trump.
Namun begitu, Trump terus mendesak Mexico, rakan dagang terbesar AS supaya mengambil langkah lebih drastik bagi mengekang aliran dadah dan migran di sempadan AS–Mexico.
Walaupun sebelum ini memuji Sheinbaum sebagai seorang pemimpin berani dan hebat, Trump tetap mendakwa Mexico dikuasai kartel.
Ancaman terbaharu Trump itu dibuat ketika beliau mengerahkan armada tentera laut termasuk kapal pengangkut pesawat terbesar dunia, USS Gerald Ford, ke Caribbean selatan berhampiran Venezuela di mana beliau mendakwa langkah itu bagi menghentikan penyeludupan dadah ke AS. -AGENSI










