Menyanyi koir boleh kurangkan risiko serangan jantung - Utusan Malaysia

Menyanyi koir boleh kurangkan risiko serangan jantung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AMSTERDAM: Menyanyi bukan sahaja menyeronokkan, malah boleh membantu menjaga kesihatan jantung. Kajian terbaharu mendapati aktiviti menyanyi dalam kumpulan koir secara tetap mampu mengurangkan tahap hormon stres dan menurunkan risiko serangan jantung.

Menurut penyelidik dari Universiti Groningen, Belanda, ujian air liur terhadap 183 sukarelawan yang mengikuti latihan koir dua kali seminggu menunjukkan penurunan ketara hormon kortisol, iaitu hormon yang dihasilkan ketika tubuh berada dalam tekanan.

Peningkatan kortisol secara mendadak adalah tindak balas normal terhadap ketakutan atau ancaman, namun tahap yang tinggi dalam jangka panjang boleh menjejaskan sistem kardiovaskular, meningkatkan tekanan darah, serta menurunkan keupayaan daya ingatan dan tumpuan.

Kajian sebelum ini menunjukkan bahawa individu dengan tahap kortisol kronik lima kali lebih berisiko mengalami serangan jantung berbanding mereka yang mempunyai paras normal.

Dalam kajian tersebut, penyelidik menjalankan ujian terhadap warga emas di rumah jagaan yang bersetuju menyertai sesi latihan koir selama 45 minit, dua kali seminggu selama tiga bulan.

Sampel air liur peserta diuji sebelum dan selepas setiap sesi bagi mengukur tahap kortisol dan enzim alpha-amylase, satu lagi penanda aras kepada tekanan dan kesihatan tubuh.

Keputusan yang diterbitkan dalam jurnal Psychoneuroendocrinology menunjukkan bahawa kedua-dua bahan kimia tersebut menurun selepas sesi nyanyian, menandakan kesan positif terhadap tahap stres dan kesihatan keseluruhan.

Penyelidik percaya manfaat ini berpunca daripada pembebasan bahan kimia ‘gembira’ seperti dopamin ketika menyanyi, yang membantu menentang kesan negatif hormon stres.

Selain itu, interaksi sosial semasa berlatih koir turut merangsang pengeluaran hormon oksitosin, yang diketahui dapat menenangkan fikiran dan mengurangkan tekanan.

Kajian turut mendapati bahawa terapi muzik berkumpulan, seperti belajar alat muzik atau bermain bersama orang lain, memberikan kesan positif yang sama terhadap kesihatan mental dan fizikal. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN