Menteri Luar Singapura lawat Palestin dan Israel, hulur bantuan kemanusiaan - Utusan Malaysia

Menteri Luar Singapura lawat Palestin dan Israel, hulur bantuan kemanusiaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAITULMUQADDIS: Menteri Luar Singapura, Dr. Vivian Balakrishnan memulakan lawatan kerja ke wilayah Palestin dan Israel mulai Isnin hingga Khamis, bagi memperkukuh komitmen republik itu terhadap usaha kemanusiaan di Gaza serta sokongan kepada penyelesaian dua negara.

Kementerian Luar (MFA) Singapura dalam satu kenyataan berkata, lawatan itu diadakan susulan pelaksanaan fasa pertama perjanjian gencatan senjata antara Israel dan Hamas di Gaza, serta pembebasan semua tebusan.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bulan lalu mengumumkan Israel dan kumpulan Hamas telah mencapai persetujuan gencatan senjata serta pembebasan tebusan fasa pertama daripada pelan damai 20 perkara yang dicadangkan beliau bagi menamatkan perang di Gaza.

Menurut MFA, lawatan Dr. Balakrishnan menegaskan semula komitmen Singapura terhadap bantuan kemanusiaan untuk rakyat Palestin di Gaza serta sokongan kepada penyelesaian dua negara sebagai jalan ke arah keamanan yang berkekalan.

Singapura juga akan terus menyokong usaha pembinaan kapasiti Pihak Berkuasa Palestin (PA) serta membantu inisiatif antarabangsa bagi pemulihan jangka panjang Gaza.

Dalam satu rakaman video di Facebook, Dr. Balakrishnan berkata beliau bersyukur kerana Singapura mempunyai hubungan yang baik dan dipercayai oleh kedua-dua pihak dalam konflik tersebut.

“Ini membolehkan kami memahami keadaan di lapangan dengan lebih mendalam dan menyumbang secara konstruktif, sekaligus mencerminkan semangat belas kasihan serta keprihatinan rakyat Singapura,” katanya.

Beliau turut memaklumkan Singapura akan menyerahkan sumbangan berjumlah AS$500,000 kepada Program Makanan Sedunia (WFP) bagi membantu memenuhi keperluan kemanusiaan di Gaza.

“Kami akan terus menyuarakan sokongan terhadap penyelesaian dua negara secara rundingan, selaras dengan resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sebagai satu-satunya jalan ke arah keamanan yang adil dan berkekalan,” tambahnya.

Ini merupakan lawatan kedua Dr. Balakrishnan ke wilayah Palestin dan Israel selepas lawatan terdahulu pada Mac tahun lalu, di mana beliau bertemu dengan Perdana Menteri Pihak Berkuasa Palestin ketika itu, Dr. Mohammad Shtayyeh serta penggantinya, Dr. Mohammad Mustafa.

Serangan mengejut Hamas pada 7 Oktober tahun lalu mengorbankan kira-kira 1,200 orang di Israel dan menculik 250 tebusan.

Sebagai tindak balas, kempen ketenteraan Israel di Gaza telah menyebabkan lebih 67,000 penduduk Palestin terkorban serta memaksa hampir keseluruhan penduduk wilayah itu meninggalkan kediaman masing-masing, menurut Kementerian Kesihatan Palestin. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN