Lula arah siasatan bebas serbuan berdarah polis ragut 121 nyawa

Lula arah siasatan bebas serbuan berdarah polis ragut 121 nyawa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RIO DE JANEIRO: Presiden Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva mengumumkan kerajaan beliau akan menjalankan siasatan bebas terhadap serbuan besar-besaran di kawasan penempatan miskin di Rio de Janeiro minggu lalu yang mengorbankan sekurang-kurangnya 121 orang.

Serbuan polis itu, yang berlaku awal Selasa lalu di dua kawasan terbesar iaitu Complexo do Alemão dan Complexo da Penha dilancarkan bagi melaksanakan lebih 100 waran tangkap terhadap anggota sindiket dadah.

Namun, operasi tersebut bertukar menjadi pertumpahan darah paling dahsyat dalam sejarah Brazil apabila empat anggota polis dan sekurang-kurangnya 117 orang awam terbunuh.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beberapa mayat dilaporkan ditemui dalam keadaan ngeri, termasuk remaja berusia 14 tahun serta seorang lelaki berumur 19 tahun yang dipenggal dan kepalanya digantung di pokok manakala salah seorang anggota polis pula kehilangan kaki akibat ditembak.

Walaupun insiden itu mencetuskan kecaman antarabangsa, sebahagian besar penduduk tempatan dilaporkan menyokong tindakan keras tersebut.

Gabenor Rio de Janeiro, Cláudio Castro, dari parti sayap kanan, memuji operasi itu sebagai tamparan hebat terhadap kumpulan jenayah terancang Red Command, antara kartel dadah terbesar di Brazil.

Namun, Lula menegaskan tindakan polis itu telah melampaui batas undang-undang.

“Sesetengah pihak mungkin menganggap operasi ini berjaya dari segi jumlah kematian, tetapi bagi saya, ia adalah bencana besar bagi negara,” kata beliau kepada wartawan asing ketika tiba di bandar Belém, di wilayah Amazon, sempena permulaan Sidang Kemuncak Iklim COP30.

“Perintah mahkamah yang diberikan adalah untuk melaksanakan waran tangkap, bukan untuk melakukan pembunuhan beramai-ramai. Tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya,” tegas beliau.

Lula turut memaklumkan polis persekutuan dan pakar forensik akan digerakkan bagi menjalankan siasatan menyeluruh terhadap kejadian tersebut.

Kajian pendapat menunjukkan majoriti rakyat Brazil menyokong tindakan keras pihak berkuasa, walaupun operasi itu mencatat jumlah korban tertinggi dalam sejarah Rio malah melebihi tragedi penjara Carandiru pada 1992 di São Paulo yang meragut 111 nyawa banduan.

Tragedi berdarah ini turut menenggelamkan permulaan sidang kemuncak iklim Brazil dan kunjungan Putera William ke Rio de Janeiro menjelang perbincangan tersebut.

Ketika pewaris takhta Britain melawat bandar itu pada Selasa, media tempatan menyiarkan laporan utama dengan tajuk besar menggambarkan Rio sebagai sebuah ‘zon perang’ berikutan keganasan terbaru itu.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×