JUBA: Lebih separuh penduduk Sudan Selatan dijangka berdepan krisis kelaparan teruk atau lebih buruk sepanjang musim kemarau 2026, menurut laporan Klasifikasi Fasa Keselamatan Makanan Bersepadu (IPC) yang dikeluarkan semalam.
Laporan itu menjangkakan sekitar 7.56 juta orang akan mengalami kekurangan makanan antara April hingga Julai 2026, manakala lebih dua juta kanak-kanak dijangka menderita kekurangan zat makanan akut.
Menurut laporan berkenaan, tahap kebuluran dan kekurangan zat makanan di Sudan Selatan kekal pada paras amat tinggi, didorong oleh konflik bersenjata tempatan serta ketidaktentuan keselamatan yang semakin meluas sehingga menyebabkan ramai penduduk kehilangan tempat tinggal.
Bagi tempoh September hingga November tahun ini, kira-kira 5.97 juta penduduk atau 42 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk Sudan Selatan kini berhadapan dengan kekurangan makanan yang serius.
Daripada jumlah itu, 1.3 juta orang berada pada tahap darurat (Fasa 4 IPC) manakala 28,000 orang lagi di tahap malapetaka (Fasa 5 IPC), dengan daerah Luakpiny/Nasir di wilayah Upper Nile berisiko menghadapi kebuluran sekiranya keadaan semakin buruk.
Perwakilan Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) di Sudan Selatan, Meshack Malo, berkata masalah kelaparan yang berlaku berpunca daripada gangguan terhadap musim tanaman serta sistem makanan negara yang tidak berfungsi dengan baik.
“Mencapai keamanan yang berkekalan dan memulihkan sistem pertanian adalah kunci untuk menamatkan kelaparan. Apabila ladang dapat diusahakan semula dan pasaran berfungsi, keluarga akan dapat menebus kembali maruah mereka,” katanya.
Laporan itu turut menegaskan akses kemanusiaan kekal menjadi cabaran besar di negara tersebut di mana banyak kawasan dilaporkan terputus hubungan selama berbulan-bulan akibat keganasan, rompakan, jalan yang rosak serta banjir besar, sekali gus menghalang bantuan penting sampai kepada golongan paling memerlukan.
“Ini adalah situasi yang amat membimbangkan. Masalah kelaparan yang berlarutan amat mengganggu.
“Di kawasan yang aman dan mempunyai akses berterusan kepada bantuan serta sumber, penduduk mula menunjukkan tanda pemulihan.
“Namun, usaha ini perlu diteruskan bagi memastikan perubahan positif yang mampan dapat dicapai di semua wilayah terjejas,” kata Mary-Ellen McGroarty, Pengarah Negara Program Makanan Sedunia (WFP) di Sudan Selatan. -AGENSI









