Lebih separuh bongkah ais Antartika berisiko runtuh 2300

Lebih separuh bongkah ais Antartika berisiko runtuh 2300

ANTARTIKA kini mempunyai 64 bongkah ais 15 bongkah utama yang berfungsi sebagai perisai keselamatan untuk melambatkan aliran ais dari daratan ke lautan. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS: Lebih separuh bongkah ais yang melitupi Antartika berisiko runtuh menjelang tahun 2300, sekali gus mencetuskan peningkatan paras laut global sehingga 10 meter.

Kajian oleh sekumpulan saintis dari Universiti Sorbonne, Paris, meramalkan sehingga 59 peratus bongkah ais Antartika boleh runtuh dalam tempoh 275 tahun akan datang jika pelepasan gas rumah hijau terus meningkat pada kadar semasa.

Sekiranya senario itu berlaku, bandar dan kawasan pesisir di seluruh dunia akan tenggelam di bawah air. Di United Kingdom, bandar seperti Hull, Glasgow dan Bristol dijangka hilang dari peta, manakala di Amerika Syarikat (AS), penduduk di Houston, New Orleans dan Miami mungkin terpaksa berpindah jauh ke pedalaman.

Walaupun kedengaran seperti adegan dari filem fiksyen sains, para pakar memberi amaran senario itu boleh menjadi kenyataan sekiranya dunia gagal mengawal peningkatan suhu global.

“Keputusan kajian kami menunjukkan bahawa pilihan yang dibuat hari ini untuk mengubah hala pelepasan karbon akan memberi kesan besar terhadap kemungkinan kehilangan sebahagian besar bongkah ais Antartika dalam jangka panjang,” jelas para penyelidik.

Katanya, daya tahan bongkah ais bergantung sepenuhnya kepada tahap pelepasan gas rumah hijau, dengan hanya satu bongkah ais dijangka tidak stabil menjelang 2300 dalam senario pelepasan rendah berbanding 59 peratus dalam senario pelepasan tinggi.

Antartika kini mempunyai 64 bongkah ais 15 bongkah utama yang berfungsi sebagai perisai keselamatan untuk melambatkan aliran ais dari daratan ke lautan.

“Apabila bongkah ais ini menipis dan runtuh, ia mempercepatkan aliran ais ke laut dan seterusnya meningkatkan paras laut global,” kata penyelidik utama, Clara Burgard.

Pasukan saintis menjalankan simulasi untuk menilai bagaimana pencairan 64 bongkah ais akan berubah mengikut kadar peningkatan pelepasan gas rumah hijau.

Hasil simulasi menunjukkan jika pemanasan global dapat dikekang di bawah dua darjah Celsius menjelang 2300, hanya satu bongkah ais akan berada dalam keadaan berisiko tinggi.

Namun, di bawah senario pelepasan tinggi apabila suhu global meningkat sehingga 12 darjah Celsius menjelang 2300, 38 bongkah ais (59 peratus) diramal lenyap sepenuhnya, menyebabkan paras laut dunia meningkat sehingga 10 meter.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN