KYIV: Komander tertinggi tentera Ukraine mengakui pasukannya kini berdepan tekanan sukar untuk mempertahankan Pokrovsk, bandar penting di garis hadapan timur daripada serangan besar-besaran pasukan Russia.
Komander Tentera Ukraine, Jeneral Oleksandr Syrskyi berkata, anggota Ukraine sedang menentang ribuan musuh namun menafikan dakwaan Russia mereka dikepung atau disekat.
Beliau mengesahkan pasukan khas elit dikerahkan untuk melindungi laluan bekalan utama yang berdepan tembakan Russia.
Kementerian Pertahanan Moscow sebelum ini mendakwa tentera Ukraine menyerah diri dan 11 anggota pasukan khas mereka terbunuh ketika mendarat dengan helikopter, dakwaan yang dinafikan Kyiv.
Dalam kenyataan di Telegram pada Sabtu, Syrskyi berkata, beliau kembali ke medan hadapan untuk menerima laporan langsung daripada komander di wilayah Donetsk timur.
Dalam video ringkas, beliau kelihatan meneliti peta pertempuran bersama beberapa pegawai, termasuk Ketua Perisikan Tentera Ukraine, Kyrylo Budanov namun tidak dapat dipastikan bila dan di mana rakaman itu dibuat.
Media Ukraine sebelum ini melaporkan Budanov turut berada di wilayah berkenaan untuk memantau operasi pasukan khas secara peribadi, menandakan tekad Kyiv untuk terus mempertahankan bandar tersebut yang cuba ditawan Russia lebih setahun lalu.
Kor Respons Pantas ke-7 Ukraine pada Sabtu berkata, tentera Ukraine memperbaiki ‘kedudukan taktikal’ di Pokrovsk namun keadaan masih sukar dan dinamik.
Pada lewat Jumaat, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky menegaskan pertahanan Pokrovsk kekal sebagai keutamaannya.
DeepState, sebuah kumpulan pemantau sumber terbuka Ukraine menganggarkan kira-kira separuh Pokrovsk kini menjadi ‘zon kelabu’ di mana tiada pihak menguasai sepenuhnya kawasan itu.
Pokrovsk merupakan hab pengangkutan dan bekalan penting dan jika ditawan, boleh membuka laluan Russia untuk menawan seluruh wilayah itu.-AGENSI










