Kanak-kanak Gaza kembali ke sekolah selepas dua tahun perang

Kanak-kanak Gaza kembali ke sekolah selepas dua tahun perang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) mengumumkan beberapa sekolah di wilayah itu mula dibuka semula dengan kanak-kanak kembali ke kelas secara berperingkat minggu lalu.

Ketua UNRWA, Philippe Lazzarini, dalam satu kenyataan di platform X pada Selasa berkata, lebih 25,000 murid sudah memulakan sesi pembelajaran di ruang pembelajaran sementara yang disediakan agensi itu, manakala kira-kira 300,000 lagi akan mengikuti kelas dalam talian.

Di Sekolah Al Hassaina di barat Nuseirat, sesi persekolahan disambung semula pada Sabtu meskipun berdepan kekurangan bilik darjah.

Seorang pelajar berusia 11 tahun, Warda Radwan berkata, dia teruja untuk kembali meneruskan rutin pembelajarannya.

“Saya kini di tahun enam, tetapi saya telah kehilangan dua tahun persekolahan akibat perpindahan dan peperangan,” katanya kepada AFP.

Sepanjang konflik dua tahun antara Israel dan Hamas, Sekolah Al Hassaina seperti banyak kemudahan UNRWA lain di seluruh wilayah itu dijadikan tempat perlindungan bagi puluhan keluarga yang kehilangan tempat tinggal.

Kehadiran mereka masih kelihatan dengan deretan pakaian yang dijemur di tiga tingkat bangunan sekolah berkenaan.

Radwan menjelaskan, sesi persekolahan bermula semula secara berperingkat selaras dengan proses pemindahan keluarga yang masih berlindung di situ.

“Selepas semuanya selesai, kami boleh terus belajar seperti dulu,” tambahnya.

Di halaman sekolah, pelajar perempuan muda berbaris untuk perhimpunan pagi, melakukan senaman regangan di bawah pengawasan guru sambil melaungkan ‘Hidup Palestin!’.

Apabila sesi pembelajaran bermula, kira-kira 50 pelajar perempuan berhimpit dalam satu bilik darjah, duduk bersila di lantai tanpa meja atau kerusi.

Mereka menjawab soalan guru dengan penuh semangat dan tekun menyalin pelajaran dari papan hitam ke dalam buku nota, gembira dapat kembali ke sekolah selepas dua tahun.

Sebuah lagi bilik darjah menempatkan jumlah pelajar yang hampir sama, terdiri daripada remaja perempuan yang lebih besar. Keadaannya sama, semuanya duduk di lantai dengan buku nota di atas riba.

Saudara kepada salah seorang pelajar, Jenin Abu Jarad berkata, dia bersyukur melihat anak-anak kembali ke kelas.

“Sejak 7 Oktober, tiada sekolah untuk anak-anak kami.

“Sepanjang tempoh itu, mereka hanya boleh mengambil air, mendapatkan makanan, atau bermain di jalan. Tetapi syukurlah, kira-kira seminggu hingga sepuluh hari yang lalu, sekolah mula dibuka semula secara berperingkat,” katanya.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN