Israel terus seksa penduduk Gaza, hanya 145 trak bantuan dibenarkan masuk setiap hari

Israel terus seksa penduduk Gaza, hanya 145 trak bantuan dibenarkan masuk setiap hari

SEORANG wanita terduduk sambil menangis di sebelah peralatan yang sempat diselamatkan dari runtuhan rumahnya yang musnah akibat serangan Israel di Khan Younis, selatan Semenanjung Gaza.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Pejabat Media Kerajaan Gaza memaklumkan, hanya 24 peratus bantuan kemanusiaan dibenarkan masuk ke wilayah terkepung itu berbanding jumlah sebenar penghantaran yang dipersetujui sejak perjanjian gencatan senjata berkuat kuasa bulan lalu. 

Menurut pejabat itu, sebanyak 3,203 trak komersial dan bantuan memasuki Gaza antara 10 hingga 31 Oktober, bersamaan purata 145 trak sehari daripada 600 trak yang sepatutnya dibenarkan masuk setiap hari di bawah perjanjian tersebut.

“Kami mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pendudukan Israel menghalang kemasukan trak bantuan dan komersial. Mereka bertanggungjawab sepenuhnya terhadap situasi kemanusiaan yang semakin merosot terhadap lebih 2.4 juta penduduk Gaza,” kata kenyataan itu.

Pihak berkuasa Gaza turut menggesa Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan pihak pengantara gencatan senjata lain menekan Israel untuk membenarkan bantuan masuk tanpa sekatan atau syarat. 

Walaupun jumlah bantuan meningkat sejak gencatan senjata bermula, penduduk Palestin di seluruh Gaza terus berdepan kekurangan makanan, air, ubat-ubatan dan bekalan penting lain akibat sekatan Israel.

Banyak keluarga juga tidak mempunyai tempat tinggal yang sesuai selepas rumah dan kawasan kejiranan mereka musnah dalam serangan ketenteraan Israel yang berterusan sejak dua tahun lalu.

Jurucakap Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Farhan Haq berkata, pejabat kemanusiaan PBB melaporkan pengumpulan bantuan terhad akibat pengalihan laluan yang diarahkan pihak berkuasa Israel.

“Seperti yang anda maklum, konvoi kini dipaksa melalui Koridor Philadelphi di sempadan Mesir, kemudian melalui jalan pesisir yang sempit, rosak dan sesak.

“Laluan tambahan diperlukan bagi memperluaskan penghantaran dan tindak balas,” katanya.

SERANGAN BERTERUSAN

Tentera Israel juga terus melancarkan serangan di Gaza, langsung tidak menghormati perjanjian gencatan senjata yang dimeterai.

Sejak Sabtu, jet pejuang, artileri dan kereta kebal Israel membedil kawasan sekitar Khan Younis di selatan Gaza. 

Tentera turut meruntuhkan bangunan kediaman di timur kem pelarian Jabalia di utara Gaza. 

Wartawan Al Jazeera, Tareq Abu Azzoum melaporkan, saksi di Khan Younis menggambarkan bedilan berat berterusan dan tembakan dron mengenai sisa rumah kediaman dan kawasan pertanian di luar garis kuning, di mana tentera Israel ditempatkan.

“Kami turut dimaklumkan oleh Pasukan Pertahanan Awam Gaza, mereka bergelut untuk mengakses beberapa lokasi berhampiran garis kuning kerana serangan udara dan dron Israel yang masih berlegar,” katanya.

Serangan Israel di Gaza mengorbankan sekurang-kurangnya 222 penduduk Palestin dan mencederakan 594 yang lain sejak gencatan senjata bermula, menurut Kementerian Kesihatan di Gaza.

Pemimpin Israel mempertahankan serangan itu dan menuduh Hamas melanggar perjanjian gencatan senjata kerana tidak memulangkan kesemua mayat tawanan Israel. 

Bagaimanapun, Hamas berkata, usaha itu rumit kerana kemusnahan meluas dan sekatan Israel yang menghalang kemasukan jentera berat untuk kerja-kerja mencari mayat.

Pada lewat Jumaat, Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa berkata, pihaknya menyerahkan tiga mayat kepada Israel selepas diserahkan oleh Hamas. 

Namun media Israel melaporkan mayat tersebut bukan dari kalangan 11 tebusan Israel yang masih belum ditemui

Sementara itu, lebih 16,500 pesakit yang memerlukan rawatan khusus masih terperangkap di Gaza, walaupun Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berusaha memudahkan pemindahan mereka yang tenat.

Menurut laporan kemas kini PBB, sehingga September, Mesir menerima jumlah pemindahan rakyat Palestin paling ramai dari Gaza iaitu seramai 3,995 orang, diikuti Emiriah Arab Bersatu (UAE) dengan 1,450 orang, Qatar (970) dan Turkiye (437).

Di Eropah, Itali menerima jumlah pesakit paling ramai dan memberikan rawatan perubatan kepada 201 orang. 

PBB juga menyatakan minggu lalu, seramai 3,800 kanak-kanak Palestin masih perlu dipindahkan untuk mendapatkan rawatan perubatan segera di luar negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN