JAKARTA: Kementerian Kewangan Indonesia merancang Rang Undang-Undang (RUU) baharu penstrukturan semula rupiah bagi meningkatkan kecekapan ekonomi, mengekalkan kestabilan, dan memperkukuh kredibiliti mata wang negara itu.
Menurut peraturan kementerian yang dikaji pada Sabtu, RUU mengenai penstrukturan semula mata wang adalah draf yang dibawa ke hadapan dan dijangka dimuktamadkan pada 2027.
Rancangan untuk mengurangkan bilangan digit kosong pada mata wang rupiah itu sudah dibincangkan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Kali terakhir kerajaan mengemukakan draf tersebut kepada Parlimen ialah pada 2013, di mana ia mencadangkan pengurangan tiga digit kosong pada mata wang rupiah, namun draf tersebut kemudian ditangguhkan.
Tidak jelas berapa banyak digit yang akan dikurangkan dalam rancangan terbaharu ini, tetapi agensi berita rasmi Antara melaporkan RUU itu turut mencadangkan pengurangan tiga digit kosong daripada denominasi rupiah.
Media tempatan Jakarta Globe melaporkan langkah terbaru ini muncul dalam Peraturan Kementerian Kewangan (PMK) No 70/2025 dalam pelan strategik kementerian 2025–2029, yang dikeluarkan pada 10 Oktober dan berkuat kuasa pada 3 November.
Pada masa ini, wang kertas rupiah bernilai antara 1,000 hingga 100,000, dengan nilai 100,000 rupiah bersamaan dengan AS$6 (RM25).
Penstrukturan semula ini bagaimanapun tidak akan menjejaskan kuasa beli atau kadar pertukaran.
Pada 2023, Bank Indonesia menyatakan kesediaannya untuk melaksanakan penstrukturan semula mata wang, tetapi masih belum menemui masa yang sesuai untuk pelaksanaan.
Menurut laporan Jakarta Globe, pembuat dasar ketika itu menekankan tiga pertimbangan utama iaitu keadaan makroekonomi domestik dan global, kestabilan sistem kewangan dan monetari serta dinamik sosial-politik.
Bank pusat menekankan, penstrukturan semula mata wang bukanlah penyusutan nilai, tetapi orang ramai mungkin masih berhati-hati memandangkan pengalaman lalu dengan inflasi dan krisis mata wang.










