India, AS jalin kerjasama pertahanan selama 10 tahun - Utusan Malaysia

India, AS jalin kerjasama pertahanan selama 10 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW DELHI: India dan Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat menandatangani satu rangka kerja pertahanan baharu bagi tempoh 10 tahun yang bakal memperluas kerjasama ketenteraan antara kedua-dua negara, sekali gus menandakan permulaan era baharu hubungan dua hala di sebalik ketegangan akibat perang tarif Washington terhadap New Delhi.

Perjanjian itu ditandatangani oleh Menteri Pertahanan India, Rajnath Singh dan Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth.

Rangka kerja dikenali sebagai Perkongsian Pertahanan Utama AS-India itu dijangka menjadi panduan dasar bagi memperkukuh hubungan strategik kedua-dua negara.

“Ini akan membuka lembaran baharu dalam kerjasama pertahanan yang sedia kukuh antara India dan AS. Ia mencerminkan keserasian strategik yang semakin meningkat serta mengorak langkah ke arah dekad baharu hubungan pertahanan,” kata Singh dalam kenyataan di platform X.

Beliau menegaskan pertahanan akan terus menjadi tonggak utama dalam hubungan dua hala dan memainkan peranan penting bagi memastikan rantau Indo-Pasifik kekal bebas, terbuka serta berasaskan peraturan.

Perjanjian itu dimeterai ketika kedua-dua negara sedang berusaha memuktamadkan rundingan perdagangan, selepas Presiden AS, Donald Trump mengenakan tarif 50 peratus terhadap India termasuk penalti 25 peratus ke atas import minyak dari Rusia.

Dalam kenyataannya di platform X, Hegseth menyifatkan perjanjian berkenaan sebagai tonggak kestabilan dan pencegahan serantau, yang akan memperkukuh kerjasama risikan dan teknologi antara kedua-dua negara.

“Kami meningkatkan koordinasi, perkongsian maklumat dan kerjasama teknologi. Hubungan pertahanan antara AS dan India kini berada di tahap paling kukuh,” katanya.

Rangka kerja baharu itu merupakan lanjutan daripada perjanjian yang mula ditandatangani pada tahun 2015, yang meliputi pembangunan teknologi bersama, perdagangan pertahanan serta pertukaran ketenteraan.

Perancangan untuk melanjutkan kerjasama itu diumumkan pada Februari lalu ketika pertemuan antara Perdana Menteri India, Narendra Modi dan Presiden Trump di Washington. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN