BEIRUT: Hezbollah mengadakan upacara pengebumian pada Isnin bagi ketua komander tentera dan beberapa ahlinya sehari selepas terkorban dalam serangan udara Israel di selatan Beirut.
Haytham Ali Tabatabai merupakan komander Hezbollah paling kanan yang terbunuh dalam serangan Israel sejak gencatan senjata November 2024 yang bertujuan menamatkan lebih setahun ketegangan antara kedua-dua pihak.
Pembunuhan Tabatabai berlaku ketika Israel meningkatkan serangan ke atas Lubnan, manakala Amerika Syarikat (AS) mempertingkat tekanan agar kerajaan Lubnan melucutkan senjata Hezbollah.
Kumpulan itu menyeru para penyokong menghadiri pengebumian besar-besaran bagi pemimpin agung Tabatabai yang akan diadakan di kawasan selatan Beirut, kawasan padat penduduk yang berada di bawah pengaruh kuat Hezbollah.
Hezbollah mengesahkan kematian Tabatabai bersama empat anggota lain dalam serangan itu.
Menurut Hezbollah, Tabatabai mengambil alih peranan ketua ketenteraan selepas perang terbaharu dengan Israel, konflik yang menyaksikan kumpulan itu mengalami kerugian besar termasuk kehilangan beberapa pemimpin kanan.
Walaupun terdapat gencatan senjata, Israel terus mengebom Lubnan dengan alasan mensasarkan anggota dan infrastruktur Hezbollah bagi menghalang kumpulan itu daripada memperkukuh kekuatan.
Mengikut perjanjian, Hezbollah perlu mengalihkan pasukannya ke utara Sungai Litani, kira-kira 30 kilometer dari sempadan Israel, serta melucutkan infrastruktur ketenteraannya di kawasan tersebut.
Di bawah pelan yang diluluskan kerajaan, tentera Lubnan perlu membongkar infrastruktur ketenteraan Hezbollah di selatan sungai itu sebelum meneruskan proses di seluruh negara menjelang akhir tahun.
Hezbollah bagaimanapun menolak keras langkah tersebut.
Susulan pembunuhan itu, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berkata beliau tidak akan membenarkan Hezbollah membina semula kekuatannya dan menggesa kerajaan Lubnan menunaikan komitmen melucutkan senjata Hezbollah.
Sumber yang rapat dengan Hezbollah memberitahu AFP bahawa kini wujud dua pandangan dalam kumpulan itu, ada yang mahu membalas dan ada yang mahu menahan diri namun kepimpinan cenderung mengambil pendekatan diplomasi maksimum pada tahap ini.
Pilihan kumpulan itu semakin terhad. Selain dilemahkan dalam perang terdahulu, mereka turut kehilangan laluan bekalan melalui Syria susulan kejatuhan bekas pemerintah dan sekutu, Bashar Assad, pada Disember.
Selain pelucutan senjata, Washington turut mendesak Beirut menghentikan sumber pembiayaan kumpulan itu dari Iran, yang mengecam pembunuhan tersebut sebagai tindakan ‘pengecut’.










