NEW DELHI: Seekor gajah Afrika yang digelar sebagai ‘gajah paling sunyi di dunia’, Shankar, mati akibat jangkitan virus yang berpunca daripada tikus, menurut pihak Zoo Delhi kelmarin.
Shankar, gajah jantan berusia 29 tahun itu, mati pada 17 September selepas disahkan dijangkiti encephalomyocarditis virus (EMCV), sejenis virus yang menyebabkan radang jantung dan dalam beberapa kes boleh menjangkiti otak mamalia.
Menurut Pengarah Zoo Delhi, Sanjeet Kumar, hasil bedah siasat mendapati virus berkenaan disebarkan melalui najis dan air kencing tikus yang dijangkiti serta kebanyakan kes EMCV sebelum ini dikesan di ladang babi, pusat penyelidikan primat dan zoo di luar negara.
Kematian Shankar mencatat sejarah sebagai kes pertama kematian gajah akibat EMCV di India.
“Mungkin terdapat kes-kes lain yang tidak dilaporkan sebelum ini,” kata seorang pegawai kanan di Institut Penyelidikan Veterinar India (IVRI) kepada BBC.
Shankar dibawa ke India bersama seekor gajah lain pada tahun 1998 sebagai hadiah diplomatik daripada Zimbabwe kepada Presiden India ketika itu, Shankar Dayal Sharma namun, pasangan gajahnya itu mati pada tahun 2001, menyebabkan Shankar hidup dalam kesunyian selama lebih dua dekad.
Selepas kehilangan pasangannya, Shankar dilaporkan berubah sikap dan sering menunjukkan tanda kemurungan.
Beberapa percubaan pihak zoo untuk memperkenalkannya dengan gajah lain bagaimanapun gagal apabila gajah-gajah lain bertindak agresif terhadapnya.
Pada tahun 2012, Shankar dipindahkan ke kandang baharu dan terus hidup bersendirian meskipun terdapat larangan nasional sejak 2009 yang menegah mana-mana zoo menempatkan gajah secara bersendirian melebihi enam bulan.










